Kahwin sejenis di Thailand: Kelantan perkukuh ajaran Islam sekolah YIK

Wan Roslan berucap pada Pelancaran Pelaksanaan DPRK di Kompleks Pentadbiran YIK di Kota Bharu.
Wan Roslan berucap pada Pelancaran Pelaksanaan DPRK di Kompleks Pentadbiran YIK di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengiktirafan perkahwinan sejenis di Thailand beri cabaran getir buat kerajaan Kelantan dalam memastikan pelajar di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) mendapat kefahaman kukuh tentang ajaran Islam, sekali gus menghalang pengaruh budaya asing yang bertentangan dengan nilai agama.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat, berkata, isu itu menjadi antara cabaran utama buat negeri ini kerana kedudukannya bersempadan dengan Thailand yang juga menjadi negara terbesar di Asia mengiktiraf perkahwinan sejenis selepas Taiwan dan Nepal.

“Kita bimbang apabila pelajar melihat budaya ini bukan sebagai sesuatu yang salah di sisi agama, tetapi sekadar satu bentuk kebebasan hak individu.

“Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh memberi kesan kepada pemikiran dan gaya hidup mereka,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) di Kompleks Pentadbiran YIK di sini pada Isnin.

Menurutnya, sehubungan itu juga kerajaan terbabit mengambil langkah serius memperkukuh sistem pendidikan negeri menerusi DPRK di 83 sekolah YIK.

Kata beliau, tempias budaya luar ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menular sama seperti masalah dadah yang semakin membimbangkan.

“Kita berdepan cabaran akibat wujudnya pengaruh luar yang tidak selari dengan prinsip Islam yang syumul.

“Justeru DPRK ialah dasar yang ditambah baik daripada sebelumnya bagi mewujudkan sistem pendidikan yang seimbang antara ilmu duniawi dan ukhrawi seterusnya melahirkan pelajar yang berakhlak mulia serta berintegriti tinggi,” jelasnya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa pengukuhan pendidikan agama ini bukan sekadar memberi pemahaman semata-mata, tetapi lebih kepada proses penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.

Artikel Berkaitan:

“Pelajar bukan sahaja perlu memahami hukum agama tetapi juga menghayatinya dalam kehidupan seharian mereka.

“Inilah yang kita tekankan dalam sistem pendidikan Islam Kelantan supaya mereka mempunyai jati diri yang kuat dalam menghadapi pengaruh luar,” katanya.

Beratus-ratus perkahwinan sejenis berlangsung di Thailand selepas Parlimen negara itu pada 27 Mac tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang perkahwinan sejenis yang mengiktiraf kesaksamaan perkahwinan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ ).

Pelakon gay berprofil tinggi, Apiwat ‘Porsch’ Apiwatsayree, 49, dan Sappanyoo ‘Arm’ Panatkool, 38, menjadi antara pertama berbuat demikian pada Januari lepas serta diberikan sijil perkahwinan jalur merah jambu di sebuah pejabat pendaftar di Bangkok.

Undang-undang baharu itu menggunakan terma neutral jantina bagi menggantikan perkataan lelaki, wanita, suami dan isteri selain turut memberikan hak kepada golongan transgender untuk berkahwin, mengambil anak angkat di samping hak mewarisi harta kepada semua pasangan yang berkahwin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!