Agensi Persekutuan disaran kurangkan kebergantungan geran kerajaan

SHAH ALAM - Agensi Persekutuan disaran mengurangkan kebergantungan terhadap geran kerajaan bagi menambah baik tatakelola pengurusan kewangan.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025: Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023, pihak audit turut mengesyorkan agar kesemua agensi mengoptimumkan penggunaan geran kerajaan demi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Menurut laporan tersebut, geran Kerajaan Persekutuan adalah antara sumber peruntukan disalurkan sama ada secara penuh atau sebahagian bagi membiayai perbelanjaan operasi mengurus dan pembangunan aktiviti, projek mahupun program agensi Persekutuan.
"Ia terbahagi kepada dua iaitu geran mengurus dan geran pembangunan. Geran mengurus disalurkan bagi tujuan membiayai kos operasi seperti emolumen, penyenggaraan, bayaran sewa, pengangkutan, utiliti serta kos pentadbiran agensi Persekutuan bagi tahun semasa.
"Pemberian geran pembangunan termasuk geran penyelidikan, geran amanah dan geran khas untuk agensi Persekutuan melaksanakan program atau aktiviti selaras fungsi serta objektifnya.
"Secara amnya, terimaan geran mengurus direkodkan dalam hasil manakala geran pembangunan, geran penyelidikan, geran amanah dan geran khas atau lain adalah liabiliti serta dilunaskan sebagai hasil apabila dibelanjakan oleh agensi Persekutuan," katanya pada Isnin.
Laporan audit memaklumkan, sebanyak 98 daripada 142 agensi Persekutuan menerima geran mengurus dan/atau geran pembangunan berjumlah RM33.628 bilion daripada Kerajaan Persekutuan pada 2023.
Katanya, jumlah terbabit merangkumi RM16.305 bilion untuk geran mengurus manakala RM17.323 bilion bagi geran pembangunan.
Jelas laporan berkenaan, terdapat lima agensi Persekutuan yang menerima geran tertinggi daripada kerajaan pusat pada 2023 antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi MARA (UiTM, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
"Mara terima geran mengurus dan pembangunan RM3.946 bilion untuk menampung perbelanjaan program penganjuran pelajaran, perbelanjaan operasi, pembangunan serta pembiayaan usahawan. UiTM pula geran mengurus bagi membiayai kos operasi manakala geran pembangunan untuk aktiviti penyelidikan serta projek pembangunan.
"PTPTN peroleh geran mengurus untuk Kos Dana Pinjaman Sukuk dan pembayaran semula bagi pemberian insentif diskaun serta pengecualian bayaran balik pinjaman atas pencapaian akademik. Geran pembangunan diterima LPP RM74.10 juta dan geran khas untuk program Skim Insentif Tanaman Padi berjumlah RM1.573 bilion.
"Felda pula terima geran pembangunan termasuk bayaran kembali Prinsipal Sukuk Berjaminan Kerajaan, Dana Penghapusan Faedah Hutang Peneroka, Dana Endowmen Tanam Semula Sawit dan Dana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," ujar pihak audit lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

