LKAN: 40 syarikat subsidiari agensi Persekutuan rugi lebih RM2.6 bilion

21 syarikat subsidari KWSP catat kerugian hampir RM1 bilion
21 syarikat subsidari KWSP catat kerugian hampir RM1 bilion
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 40 syarikat subsidiari daripada lima agensi Persekutuan mencatatkan kerugian bernilai RM2.66 bilion dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan kesusutan tertinggi pada 2023.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023, agensi itu menerusi 21 syarikat subsidiarinya mencatatkan kerugian bernilai RM941 juta.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menerusi lima syarikat subsidiari pula mencatatkan kerugian bernilai RM720,000 juta diikuti Lembaga Tabung Haji (TH) rugi sebanyak RM690 juta melalui empat syarikat subsidiari.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pula menerusi dua syarikat subsidiari merekodkan kerugian bernilai RM0.17 bilion manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatatkan kesusutan sebanyak RM0.14 bilion (lapan syarikat subsidiari).

Pada tahun 2023, sebanyak 21 syarikat subsidiari mengalami kerugian berjumlah RM970.55 juta, terdiri daripada sembilan syarikat subsidiari yang beroperasi di dalam negara, manakala 12 syarikat subsidiari beroperasi di luar negara.

Sementara itu Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi melalui kenyataan media susulan laporan tersebut memaklumkan, lima daripada 142 agensi Persekutuan merekodkan jumlah liabiliti lebih tinggi berbanding jumlah aset.

"Perbandingan antara aset dan liabiliti mendapati 142 agensi Persekutuan mempunyai aset berjumlah RM2.696 trilion berbanding liabiliti berjumlah RM0.871 trilion.

"Analisis penyata kewangan bertujuan menilai prestasi kewangan agensi Persekutuan terhadap lima perkara iaitu aset dan liabiliti, geran Kerajaan Persekutuan, pinjaman diterima, pelaburan dalam syarikat subsidiari serta lebihan atau kurangan semasa," jelasnya.

Beliau berkata, sebanyak 98 daripada 142 agensi Persekutuan telah menerima geran berjumlah RM33.628 bilion daripada kerajaan Persekutuan pada 2023 yang terdiri daripada geran mengurus sebanyak RM16.305 bilion dan geran pembangunan berjumlah RM17.323 bilion.

Artikel Berkaitan:

Selain itu 97 agensi Persekutuan mempunyai baki geran pembangunan berjumlah RM21.399 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!