'Pemajakan helikopter, saya hanya beri fakta' - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled menyantuni anggota tentera udara yang hadir di Pangkalan Udara Butterworth ketika lawatannya pada Isnin.
Mohamed Khaled menyantuni anggota tentera udara yang hadir di Pangkalan Udara Butterworth ketika lawatannya pada Isnin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kerajaan menafikan memberikan penjelasan yang mengelirukan berhubung isu pemajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16.6 bilion bagi tempoh 15 tahun bagi kegunaan pasukan keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembangkang seharusnya memperincikan kekeliruan tersebut dan bukannya dinyatakan secara umum.

"Mereka (pembangkang) tidak ada isu lain, mereka terpaksa lah buat isu itu. Yang mana mengelirukan, kena beritahu lah. Jangan cakap secara umum. Saya hanya beri fakta, tiada yang mengelirukan.

"Mereka cakap mengelirukan, saya kata meyakinkan. Mengenai perbandingan dengan kerajaan Poland, saya guna hujah mereka kerana yang bawa (isu) Poland adalah mereka.

"Oleh kerana mereka faham Poland, jadi saya terangkan macam mana (urusan) Poland," katanya ketika ditemui dalam lawatannya ke Pangkalan Udara Butterworth di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menuntut untuk mengemukakan justifikasi lebih telus mengenai perjanjian pajakan tersebut dan kos yang lebih terperinci bagi memastikan ketelusan dalam penggunaan dana awam.

Ikmal berkata, walaupun Mohamed Khaled mempertahankan langkah kerajaan pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu, namun penjelasan yang diberikan 'tidak benar sama sekali'.

Menurut Ikmal, perbandingan yang dibuat oleh kerajaan terhadap kontrak ini dengan kos pembelian 32 buah helikopter jenis AW149 oleh kerajaan Poland tidak tepat.

Mengulas lanjut mengenai isu perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn Bhd, Mohamed Khaled berkata, syarikat tersebut merupakan syarikat besar yang mengendalikan perkhidmatan helikopter bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang apabila kita faham konsep pajakkan ni, syarikat itu mesti beli dulu. Kalau kita pergi kepada syarikat pengeluar peralatan tulen (OEM), dia tidak akan buat helikopter, you kena bayar.

"Jadi kerajaan tak payah bayar. Saya kata bila helikopter siap baru kerajaan bayar. Ini maknanya, syarikat itu mesti sediakan duit sebab kos helikopter RM4 bilion lebih. Dia kena sediakan duit. Tak boleh lah ambil syarikat kat tepi jalan.

"Maknanya mesti syarikat yang kuat dan syarikat Weststar memang sebuah syarikat mengendalikan perkhidmatan helikopter bukan sahaja di Malaysia, malah di Arab Saudi termasuk menyediakan perkhidmatan keluarga diraja Arab Saudi," katanya.

Beliau menambah, ketika ini juga, Weststar terlibat dengan sektor gas dan minyak di Timor Leste.

"Syarikat ini juga telah membekalkan perkhidmatan helikopter untuk Petronas. Jadi syarikat ini bukan biasa-biasa kerana ia ada kemampuan dalam kewangan. Jika tidak, kerajaan yang kena (keluarkan wang).

"Jika kita buat itu, kerajaan tiada wang untuk sektor lain. Jika tidak buat cara ini, sampai bila pun kerajaan tidak ada helikopter. Jadi apa yang mengelirukan?" jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, ketika ini, kerajaan telah menyewa helikopter pajak melalui program GOCOM namun ia bukan melibatkan helikopter baharu.

"Sekarang ini kita ada menyewa helikopter pajak melalui program GOCOM tetapi bukan helikopter baharu. Yang dengan Weststar ini baru. Jadi bila mereka keluarkan wang, ia perlu ada kos pembiayaan.

"Yang kedua, mereka kena ambil insurans, apa-apa terjadi pada helikopter itu, ada insurans. Sekarang ini, yang kerajaan punya, tiada insurans. Insurans itu pada aset itu sendiri, kru, penumpang dan pihak ketiga.

"Jika helikopter itu terjatuh kat sesiapa, sekarang kalau jatuh, mana ada insurans. Jadi yang ini mesti ada insurans. Dan kena ingat, kerajaan bayar dia bukan sekali gus, kita bayar tiap-tiap bulan selama 15 tahun," katanya.

Terdahulu, pajakan 28 helikopter bernilai RM16.6 bilion yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan merangkumi pakej menyeluruh termasuk penyelenggaraan dalam dan luar pangkalan, simpanan alat gantian, latihan serta kursus juruterbang dan krew penerbangan serta kos pembiayaan.

Mohamed Khaled berkata, perolehan secara sewaan itu melibatkan tempoh kontrak selama 15 tahun dan diterima oleh semua anggota keselamatan yang menerima helikopter tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!