Pajakan helikopter optimum perbelanjaan, kurangkan beban fiskal

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Projek pajakan helikopter secara kerjasama awam swasta membolehkan kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan dengan mengagihkan beban kos secara lebih mampan sepanjang tempoh 15 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif itu bertujuan menggantikan aset strategik keselamatan yang usang, meningkatkan tahap kesiapsiagaan helikopter sedia ada dan mengurangkan beban fiskal.

“Di antara tahun 2020 hingga 2024, sebanyak lima insiden helikopter terhempas milik kerajaan memberi impak yang besar khususnya kepada tanggungan kewangan kerajaan kerana aset-aset ini terpaksa dihapus kira.

“Perbelanjaan modal untuk menggantikan aset-aset ini secara konvensional akan membebankan fiskal negara,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berhubung justifikasi perbelanjaan anggaran RM16 bilion bagi sewaan helikopter berbanding kos RM9.8 bilion untuk menyiapkan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).

Dalam pada itu, Azalina berkata, menerusi projek berkenaan kerajaan menerima perkhidmatan merangkumi penyelenggaraan, perlindungan insurans dan latihan untuk seramai lebih daripada 1,300 anggota di sepanjang tempoh konsesi.

Menurutnya, kerajaan juga diberi pilihan membeli pesawat pada harga nominal RM1 pada setiap pesawat pada akhir tempoh konsesi dan jaminan dari segi tahap ketersediaan armada untuk semua agensi pengguna ke ke tahap minima 85 peratus.

“Melalui inisiatif pajakan ini, kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dalam fasa pembekalan helikopter tersebut.

“Malah segala kos timbul dalam tempoh masa pembekalan ini termasuk kos latihan bagi kru penerbangan akan dibiayai oleh syarikat konsesi sehingga aset tersebut diterima kerajaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, projek pajakan berkenaan membabitkan 28 unit helikopter pelbagai model lengkap dengan peralatan misi mengikut keperluan khusus agensi agensi pengguna.

“Ia termasuk Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pendekatan pajakan sebegini juga adalah amalan biasa bagi pengurusan asset strategik dan keselamatan di negara-negara maju seperti Perancis, Kanada dan United Kingdom (UK)," jelasnya.

Sementara itu, Azalina berkata, bagi projek pembinaan LPT3, ia masih dalam penelitian kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu.

“Penelitian itu termasuk aspek jajaran dan pendekatan pembangunan yang akan dilaksanakan bagi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat.

“Sekiranya projek tersebut dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam swasta ia berupaya mengurangkan beban fiskal kerajaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!