[VIDEO] Kerjasama parti: Pemimpin UMNO Sabah harus berlapang dada
KOTA KINABALU - Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin utama UMNO di negeri ini berlapang dada dalam menjalin kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.
Timbalan Perdana Menteri itu turut menasihatkan pemimpin UMNO Sabah supaya tidak hanya memikirkan mengenai kepentingan sesuatu parti sahaja, tetapi dalam masa sama harus mengutamakan rakyat di negeri ini.
"Kita sangat terbuka untuk jalinan gabungan, jadi kita mengadakan perundingan dengan semua pihak. Yang penting rakyat mesti diberikan keutamaan supaya masalah politik ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
"Yang penting ialah pemimpin-pemimpin utama parti itu harus lebih terbuka fikiran dan berlapang dada demi kepentingan rakyat. Jangan fikirkan hanya kepentingan sesuatu parti saja," katanya kepada pemberita selepas melawat Rancangan Tebatan Banjir, di Kapayan, di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai pandangan sebahagian Ketua UMNO Bahagian yang kurang bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi positif dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menghadapi PRN17 kali ini.

Mengulas lanjut mengenai soal kerjasama tersebut, Ahmad Zahid berkata, UMNO sangat fleksibel dalam mengadakan rundingan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti gabungan di negeri ini demi kestabilan politik negara.
"Saya sebutkan bahawa pintu jangan ditutup rapat dan jangan dibuka terlalu luas. Ertinya kita sangat fleksibel untuk mengadakan perundingan-perundingan dengan parti-parti supaya gabungan ini akan memberikan keberhasilan bagi mewujudkan kestabilan politik, khususnya di negeri Sabah.
"Saya nampak cahaya yang cukup terang di hujung terowong dan saya akan teruskan tugas-tugas ini dan yang penting kestabilan politik di Putrajaya itu dapat juga dirasai oleh penduduk dan orang-orang politik di Sabah," katanya sambil memaklumkan kerjasama itu adalah sebelum dan selepas PRN Sabah.
Dalam pada itu, beliau belum berhasrat untuk berkongsi maklumat sekiranya ada sebarang rundingan rasmi mengenai kerjasama tersebut termasuk GRS.
"Seperti yang saya katakan, kami sangat terbuka dan kami tidak seharusnya berhenti berunding atau berbincang dengan mana-mana pemimpin politik demi kepentingan Sabah," katanya.
Mengulas mengenai hak autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah sebelum ini, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, menerusi hak autonomi yang diberikan selama ini terbukti membawa kepada impak bahawa Sabah lebih membangun.
"Memang autonomi itu datangnya daripada kami dan ini sedang dilaksanakan dan sebagaimana yang kita ketahui bahawa daripada 5 Februari tahun 1991, keberadaan UMNO di Sabah bukan kerana satu perancangan untuk membawa UMNO ke Sabah, tetapi adalah atas permintaan pemimpin politik dan rakyat Sabah ketika itu.
"Maka selama 34 tahun keberadaan UMNO dan BN di Sabah telah memberikan keberhasilan dari segi pembangunan di Sabah ini dan terbukti daripada rekod pencapaian yang telah kita lihat di Sabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
