Kedai karpet di Nilai 3 terbakar, peniaga rugi RM30 juta
NILAI - Pemilik kedai karpet yang terbakar di Nilai 3 menganggarkan mengalami kerugian hampir RM30 juta selepas stok bagi jualan Aidilfitri turut musnah dalam kejadian itu.
Pengarah urusan syarikat berkenaan, J Rajesh, 40-an berkata, dia mengetahui kedainya terbakar selepas dihubungi oleh pengawal keselamatan bertugas.
Menurutnya, maklumat awal diterima daripada salah seorang pekerja memaklumkan kejadian disedari orang awam yang ternampak kepulan asap keluar daripada kedai berkenaan sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.
"Saya tidak tahu punca sebenar kejadian ini dan pihak bomba masih jalankan siasatan jadi biar bomba jalankan kerja mereka dulu," katanya pada Jumaat.
Sinar Harian melaporkan sebuah kedai karpet berkeluasan 120,000 kaki persegi di Nilai 3 di sini terbakar awal pagi hari ini memusnahkan 80 peratus struktur bangunan satu tingkat itu.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sembilan memaklumkan, laporan berhubung kejadian diterima jam 7. 49 pagi sebelum seramai 58 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Mantin, Rantau dan Seremban 2 ke lokasi kejadian.
Rajesh berkata, sebelum ini gudang karpetnya terletak di Nilai 3 pernah terbakar sekitar 2015 dan kejadian kali ini pula memusnahkan kedai berkenaan yang beroperasi sejak 2017.
Katanya, kejadian itu turut menyebabkan hasrat membuat live di TikTok di kedainya terbantut.
"Sebelum kejadian, saya ada meminta pekerja untuk membuat persediaan memasang suis utama bagi membolehkan live dilakukan sebaik kedai mula dibuka jam 8 pagi.
"Tiba-tiba dia hubungi saya dan maklumkan ada terdengar bunyi pelik ketika buka suis utama sebelum kebakaran berlaku," katanya.
Ujarnya, walaupun terkejut dengan kejadian itu, kerana baharu mengambil banyak stok karpet untuk persiapan raya namun bersyukur kerana tiada kemalangan berlaku dalam insiden itu.
Ia susulan kejadian berlaku sewaktu kedai masih belum beroperasi.
@sinarharianonline Sebuah kilang karpet di Nilai 3 di sini dilaporkan terbakar awal pagi Jumaat memusnahkan hampir keseluruhan struktur bangunan satu tingkat itu. Difahamkan kilang sama pernah terbakar beberapa tahun lepas sebelum didirikan bangunan baharu yang turut mengalami nasib sama. Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sembilan memaklumkan, laporan berhubung kejadian diterima jam 7. 49 pagi. Menurutnya, seramai 58 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Mantin l, Rantau dan Seremban 2 ke lokasi kejadian. #SinarHarian #SinarTerkini #VideoViral#KilangKarpet#Terbakar#Nilai3 original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

