Bangkai paus terdampar disangka kayu balak hanyut

PEKAN - Tanda tanya berhubung 'kayu balak besar' yang terdampar di Pantai Kampung Sungai Miang di sini sejak hampir seminggu lalu terjawab apabila objek itu disahkan sebagai bangkai ikan paus.
Penemuan itu menggemparkan penduduk setempat memandangkan ia kali pertama bangkai paus bersaiz besar terdampar di pantai itu.

Ketua Jaringan Nelayan Kampung Sungai Miang, Faizal Mat Amin, 53 berkata, pada awalnya dia dan nelayan lain yang melintasi kawasan itu untuk ke laut menyangka objek tersebut hanya bongkah kayu.
Menurutnya, kehadiran 'bongkah kayu' itu mula menimbulkan tanda tanya apabila ia terus berada di situ dan tidak berganjak walaupun selepas air laut pasang.

"Memandangkan tiada jalan masuk ke kawasan itu, kami hanya melihatnya dari jauh sehinggalah salah seorang nelayan naik ke pantai untuk melihatnya dengan lebih dekat kira-kira jam 4 petang semalam.
"Masa itulah, baru kami tahu ia sebenarnya bangkai paus berukuran kira-kira 12 meter yang sudah mulai mereput," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan bangkai paus itu pada Isnin.

Faizal berkata, perkara itu segera dimaklumkan kepada Pejabat Perikanan Daerah Pekan untuk siasatan lanjut.
"Pegawai dari Pejabat Perikanan Pekan sudah ke lokasi ini dan siasatan awal mengesahkan ia bangkai paus namun spesiesnya belum dapat dikenal pasti.
"Lokasi ini mula dikunjungi penduduk untuk melibat bangkai paus dengan lebih dekat dan ada yang merakamnya untuk dikongsi melalui media sosial," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Miang, Muhammad Karim, 61 berkata, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku di kampung tersebut.
Menurutnya, sebelum ini pernah berlaku bangkai ikan paus terdampar di kawasan itu namun saiznya jauh lebih kecil.

"Setakat ini kami tidak pasti sama ada ia dari perairan negara ini atau tersesat sebelum mati dan dihanyutkan ke sini.
"Kita serahkan kepada pihak perikanan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
"Bangkai ini 'dikawal' bagi mengelak ada pihak mengambil bahagian ikan ini sehingga mengganggu siasatan pihak berkuasa," katanya.

Ketua Daerah Perikanan Pekan,Muhammad Khairani Zulkifely pula berkata, pihaknya ke lokasi bangkai tersebut untuk melihat dan melakukan siasatan awal selepas dihubungi penduduk.
Menurutnya, siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti spesies bangkai paus itu dan punca ia terdampar di situ
"Kemungkinan ia dari perairan luar dan mati lebih awal sebelum dihanyutkan ke sini.
"Selepas siasatan dijalankan, bangkai ini mungkin akan dilupuskan (ditanam) di kawasan ini memandangkan ia sudah mula reput dan berbau," katanya.

Pada masa sama beliau meminta orang ramai agar tidak mengusik bangkai tersebut.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Perikanan Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang, Muhammad Amirul Siddiq Abd Rashid berkata, paus merupakan haiwan bermigrasi dan perairan Pekan dan Nenasi dikenal pasti sebagai laluannya.
Menurutnya, sampel bangkai itu akan diambil untuk ujian asid deoksiribonukleik alam sekitar (eDNA) bagi mengenal pasti spesiesnya.
"Bangkai itu akan ditanam dan rangkanya akan digali semula selepas 100 hari untuk tujuan pengawetan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

