AADK sedia bantu ‘bersihkan’ konsert daripada dadah

KUALA LUMPUR– Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor mengalu-alukan kerjasama dengan penganjur konsert bagi memperkukuhkan usaha pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung acara hiburan.
Pengarahnya, Nazir Mohamad berkata, pihaknya bersedia untuk terlibat secara langsung dalam penganjuran konsert dengan menyediakan pameran kesedaran bahaya dadah di lokasi acara.
“Penganjur boleh memberi ruang kepada AADK untuk mengadakan slot kesedaran dan melaksanakan kehadiran omnipresence, sekurang-kurangnya sebagai langkah pencegahan awal.
“Keberadaan AADK di venue mampu menjadi satu bentuk deterrence atau pencegahan kepada mereka yang berniat untuk menyalahgunakan dadah,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai kes ini.
Menurutnya, usaha mencegah penyalahgunaan dadah bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan pendekatan berterusan yang bermula dari rumah dan disokong oleh komuniti.
“AADK sentiasa menjalankan pelbagai program dan aktiviti melibatkan pelbagai golongan sasaran dalam usaha meningkatkan faktor pelindung dan mengurangkan faktor risiko dalam sesebuah komuniti.
“Kesedaran ini perlu dipupuk secara menyeluruh kerana ia bukan hanya tanggungjawab AADK tetapi juga ibu bapa, masyarakat serta pihak berkuasa,” ujarnya.

Nazir turut menyeru golongan remaja untuk menyertai kempen sukarelawan antidadah anjuran AADK sebagai simbolik komitmen mereka untuk kekal bebas daripada pengaruh dadah.
“Melalui platform sukarelawan ini, kita turut menyediakan pelbagai latihan pembinaan karakter dan pembangunan kapasiti untuk memperkasakan anak muda.
“Ia bukan sekadar kempen, tetapi satu bentuk pendidikan awal agar mereka memahami risiko serta kesan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana penganjur bagi memastikan konsert dan acara hiburan di negara ini dapat berlangsung dalam keadaan terkawal serta bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
Kronologi kes kematian membabitkan konsert muzik elektronik (EDM)
1. Konsert Pinkfish Countdown 2024
Pada 31 Disember 2024, konsert Pinkfish Countdown diadakan di Bandar Sunway, Shah Alam. Empat pengunjung—dua lelaki dan dua wanita—dilaporkan meninggal dunia selepas menghadiri acara tersebut. Laporan patologi mengesahkan bahawa tiga daripada mereka meninggal dunia akibat 'stimulant drugs intoxication' atau keracunan dadah perangsang. Punca kematian seorang lagi mangsa masih dalam siasatan lanjut. Sehingga kini, pihak polis telah merakam percakapan daripada 53 saksi berhubung kes ini.
2. Future Music Festival Asia 2014
Pada Mac 2014, enam individu maut akibat pengambilan dadah berlebihan semasa menghadiri Future Music Festival Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Kejadian ini menyebabkan pihak berkuasa membatalkan hari terakhir festival tersebut sebagai langkah keselamatan.
3. Konsert Armin Van Buuren 2013
Pada September 2013, seorang lelaki berusia 26 tahun meninggal dunia akibat pengambilan dadah sintetik semasa menghadiri konsert DJ terkenal, Armin Van Buuren, di Sepang International Circuit. Mangsa dilaporkan mengalami sawan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
4. Konsert Thirst 2015
Pada April 2015, dua individu maut dan beberapa lagi dimasukkan ke hospital akibat pengambilan dadah berlebihan semasa menghadiri konsert Thirst di Shah Alam. Pihak berkuasa menahan beberapa individu yang disyaki mengedar dadah semasa acara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
