Harumanis Kedah berpotensi besar, namun masih ketinggalan dengan Perlis

Othman (kanan) menunjukkan buah harumanis semasa lawatan kerja Dzowahir (tengah) dan Jabatan Pertanian Negeri Kedah ke Ladang Harumanis Usima Agriculture Sdn Bhd di Alor Setar pada Ahad.
Othman (kanan) menunjukkan buah harumanis semasa lawatan kerja Dzowahir (tengah) dan Jabatan Pertanian Negeri Kedah ke Ladang Harumanis Usima Agriculture Sdn Bhd di Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR – Kedah memiliki potensi besar dalam penanaman harumanis, namun negeri ini masih jauh ketinggalan berbanding Perlis dalam industri tersebut walaupun mempunyai kawasan pertanian lebih besar.

Pengerusi Persatuan Harumanis Kedah, Othman Ismail, berkata, jumlah petani yang mengusahakan tanaman harumanis di negeri ini masih terlalu kecil dengan hanya kira-kira 200 orang melibatkan keluasan ladang sekitar 125 hektar.

Menurutnya, Perlis yang lebih kecil dari segi keluasan negeri mempunyai sehingga 2,600 pengusaha dengan kawasan ladang seluas 1,700 hektar.

“Kedah mempunyai tanah yang luas, malah tanah batu kapur yang dikatakan sesuai untuk tanaman Harumanis juga banyak di sini.

"Tetapi kita telah mensia-siakan lebih 14 tahun tanpa sebarang perkembangan ketara dalam industri ini. Kita ada aset yang boleh dikembangkan tetapi tidak digilap dengan baik," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan dan lawatan kerja Exco Pertanian Kedah, Dzowahir Ab Ghani serta Jabatan Pertanian Negeri Kedah ke Ladang Harumanis Usima Agriculture Sdn Bhd di sini.

Jelas Othman, Jabatan Pertanian Negeri diminta supaya bertindak segera untuk memperkembangkan industri ini kerana ia mampu memberi pendapatan lumayan kepada rakyat Kedah.

Menurutnya, tanaman ini mampu memberikan keuntungan besar kepada para petani dengan hasil jualan yang tinggi setiap musim.

“Dalam satu relung tanah, keuntungan yang boleh dijana mencecah RM20,000. Namun, masih ramai penduduk Kedah yang tidak melihat peluang ini.

Artikel Berkaitan:

"Sedangkan di Perlis, ramai pegawai kerajaan, pensyarah dan guru mengambil peluang ini sebagai pendapatan sampingan," ujarnya.

Tambah beliau lagi, golongan pesawah di Kedah juga boleh menanam sekurang-kurangnya 10 atau 20 pokok di sekitar rumah mereka namun kesedaran ke Arab tersebut masih rendah.

Sementara itu, Dzowahir pada sidang akhbar berkata, kerajaan negeri akan terus menggalakkan lebih ramai petani terlibat dalam penanaman harumanis.

Menurutnya, kerajaan negeri menjangkakan hasil harumanis di Kedah meningkat kepada 235 metrik tan pada 2025 berbanding 220 metrik tan pada tahun lalu.

“Kawasan bendang di negeri ini boleh dimanfaatkan bagi membantu pesawah mendapatkan pendapatan tambahan,” katanya.

Jelas Dzowahir, melalui usaha bersepadu antara kerajaan dan petani, harumanis Kedah berpotensi menjadi salah satu industri pertanian utama di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!