Bendang berselut, Pesta Angin Timur (PAT) Perlis diubah lokasi
ARAU - Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2025 di Kampung Lat 1000, Tambun Tulang tetap diteruskan walaupun tapak lokasi berkenaan berselut tebal berikutan hujan lebat kebelakangan ini.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, susulan itu beberapa perubahan dilakukan antaranya lokasi acara yang telah disusun akan diubah ke lokasi lebih sesuai.
Menurutnya, perubahan lokasi acara yang bermula pada Jumaat itu terpaksa dilakukan pada saat akhir berikutan kawasan lokasi PAT terbabit masih digenangi air.
“Beberapa perubahan dan peluasan tempat bagi acara tertentu terpaksa dibuat. Sawah yang sebelum ini kering menjadi lecak dan berlumpur, kita ambil keputusan untuk meneruskan acara tahunan ini dengan sedikit pengubahsuaian,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau lokasi PAT Perlis 2025 di Kampung Lat 1000 pada Jumaat.
Mohd Shukri berkata, tapak niaga yang menempatkan 170 peniaga reruai termasuk 10 kenderaan saji turut diminta berpindah ke pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Persiaran Wawasan.
“Keadaan tanah yang lecak dan berlumpur di tapak pesta itu menyukarkan peniaga serta pengunjung untuk bergerak," katanya.
Selain tinjauan, beliau turut mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Rahimi Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris; Pengarah JKKN Perlis, Norazlin Nordin serta Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya JKKN, Raizuli Jusoh, berhubung perjalanan acara tersebut.
Mohd Shukri memaklumkan, program anjuran JKKN Perlis itu akan menyaksikan daripada 18 acara yang dijadualkan berlangsung hingga Ahad, tujuh dijalankan di tapak utama pesta di Kampung Lat 1000, iaitu acara bola jaring bendang, bola tampar bendang dan 'mud challenge'.
"Selain itu, acara arca jerai, pertunjukan wau helang Perlis, pertandingan kayuh basikal di atas titi dan Larian Angin Timur akan diteruskan di kampung berkenaan.
“Acara tarik tali akan diadakan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kangar, manakala pertunjukan belon udara panas di kawasan lapang bersebelahan Kompleks DUN Perlis.
"Dataran Lok 9, Kuala Perlis akan menjadi lokasi bagi acara pertandingan kayuh basikal di atas titi dan pertunjukan wau moden,” jelasnya.
Menurutnya lagi, pertandingan nyanyian Irama Malaysia pula akan diadakan di Jan Cafe Sungai Batu Pahat, selain pertunjukan paramotor di Tapak Lapang Kangar Jaya serta pertunjukan silat seni kreatif di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, Kuala Perlis.
“Kenduri Rakyat akan diadakan di kediaman ketua Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Lat 1000, manakala pertandingan masakan meliputi asam pedas Perlis, tepung talam, pulut udang Perlis, bubur Perlis dan dodol Perlis diadakan di premis Yayasan Pok dan Kassim (YPK) di Pengkalan Asam, Kangar,” jelasnya.
Mohd Shukri tegaskan, penganjuran PAT Perlis 2025 tidak sesekali dibatalkan dan tetap diteruskan sehingga majlis penutupan pada Ahad biarpun sebelum ini wujud spekulasi sama ada acara tersebut akan dibatalkan kalangan pengunjung dan peniaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

