Tiga faktor projek lambat siap - JKR Kelantan

Nik Soh (kanan) mengiringi Saizol (dua, kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada pembekal KeCeX 2.0 pada Ahad.
Nik Soh (kanan) mengiringi Saizol (dua, kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada pembekal KeCeX 2.0 pada Ahad.
A
A
A

BACHOK - Kelewatan bahan, kenaikan kos bahan dan kos upah buruh merupakan tiga faktor utama kontraktor pembinaan tidak dapat menyiapkan projek mengikut jadual.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaakob berkata, kebanyakan kontraktor menghadapi masalah terbabit kerana biasanya kos bahan akan meningkat selepas pemberian tender dan tapak projek dikenal pasti.

"Mungkin dalam tempoh enam bulan selepas itu berlaku sehingga 20 hingga 30 peratus kenaikan barang yang boleh merencatkan pelaksanaan projek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kelantan Electrical Convention And Exhibition 2.0 (KeCeX 2.0) di Universiti Malaysia Kelantan pada Ahad.

Program dirasmikan Timbalan Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Kelantan, Saizol Ismail.

Nik Soh juga memberitahu, kebanyakan kontraktor di negeri ini turut mengalami masalah buruh yang mengakibatkan kesinambungan kerja tidak dapat diteruskan.

Tambah beliau, bagaimanapun setiap konsesi diwajibkan menggunakan 60 peratus pekerja tempatan.

"Setiap tahun konsesi berkenaan perlu mempunyai laporan berkaitan pekerja dan mengupah buruh tempatan untuk kerja-kerja di lokasi projek mereka," katanya.

Jelas beliau lagi, KeCeX 2.0 yang menghimpunkan 40 pembekal utama di seluruh negara memberi peluang kepada kontraktor berkolaboratif bagi memastikan projek mereka tidak tergendala dan pelaksanaan lebih cepat.

Artikel Berkaitan:

"Kita memperkenalkan agensi dan badan berkaitan yang boleh membantu kontraktor bagi memastikan tiada lagi masalah berkenaan," katanya.

KeCeX 2.0 dianjurkan oleh JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik negeri Kelantan dan Institut Jurutera Malaysia Cawangan Negeri Kelantan.

Sementara itu Saizol berkata, program itu menggabungkan penggiat industri terdiri daripada kontraktor, perunding, pegawai agensi kerajaan dan pempamer yang terdiri daripada pengilang, pembekal, peralatan serta kejuruteraan elektrik dan mekanikal.

"Penganjur turut menyediakan slot taklimat khas daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) bertajuk Integriti Dalam Industri Pembinaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!