YB Ishsam rebah ketika bersalaman di tepi padang

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin dilaporkan rebah ketika bersalaman dengan pemain lain di tepi padang ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandar Raya di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisiner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang.
Menurutnya, beliau telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang kira-kira jam 5.40 petang setelah bantuan kecemasan diberikan di tepi padang.
"YB telah disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan, Hospital Pulau Pinang pada jam 6.28 petang," katanya dalam kenyataan ringkas di sini, pada Sabtu.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Isham rebah tidak sedarkan diri selepas menyertai kejohanan berkenaan.
Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, beliau yang juga bekas pemain bola sepak sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian selepas beraksi bersama bekas pemain kebangsaan lain dari Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rozlita Abdullah dan empat orang anak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

