Harga siling tapak bazar Ramadan: Kawal kenaikan sewa melampau

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai harga tapak bazar Ramadan dan Syawal. (Baharudin)
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai harga tapak bazar Ramadan dan Syawal. (Baharudin)
A
A
A

ALOR SETAR - Penetapan harga siling tapak bazar Ramadan dan Syawal dipercayai dapat mengawal kenaikan melampau sewaan tapak jualan selain kembali memeriahkan bazar Ramkawaladan dan Aidilfitri.

Naib Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (Gapema), Baharudin Mohamed Ali berkata, langkah berkenaan juga dipercayai dapat mengekang berlakunya kenaikan harga produk jualan di bazar, selain memastikan sewa tapak tidak dinaikkan sesuka hati.

Menurutnya, penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri juga lebih sesuai dikendalikan oleh persatuan peniaga yang lebih arif mengenai permasalahan peniaga, berbanding pihak luar yang mungkin hanya memikirkan keuntungan.

“Saya setuju dengan saranan Persatuan Pengguna Kedah (Cake) supaya kerajaan mengenakan kadar sewa berdasarkan harga siling bagi tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri, selain syarat ketat terhadap penganjur yang dilantik mengendalikan bazar.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diminta mengutamakan persatuan peniaga untuk anjurkan bazar dan bukan pihak yang tiada pengalaman,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Baharudin berkata, terdapat beberapa PBT yang membenarkan persatuan yang tidak terlibat dalam perniagaan untuk menguruskan bazar yang mana sebahagian penganjur adalah daripada sektor pertanian.

"Bolehkah mereka memberi jaminan bahawa kebajikan penjaja dan peniaga kecil di bazar dijaga dengan baik kerana tiada pengalaman dalam sektor perniagaan?," soalnya.

Baharudin yang juga Presiden Gapema Kedah menggesa pihak PBT agar berhubung dengan persatuan peniaga sebelum melantik penganjur bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi memastikan kepentingan peniaga diberikan keutamaan.

Pada Rabu, Presiden Cake, Mohd Yusrizal Yusoff melahirkan kebimbangan bazar Ramadan dan Syawal akan pupus pada masa hadapan sekiranya harga tapak dijual pada harga terlalu tinggi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peniaga masih berdepan kemelut dihimpit harga tapak mahal sehingga cecah ribuan ringgit setiap kali menjelang Ramadan, dan sekiranya tidak dikawal kelak menyebabkan bazar tidak lagi dikunjungi.

Berikutan itu, Cake mencadangkan agar diperkenalkan harga siling tapak bazar Ramadan dan Syawal untuk diselaraskan di setiap negeri.

Mohd Yusrizal turut tegaskan, terdapat keperluan mendesak untuk merombak kadar sewaan bazar Ramadan dan Aidilfitri selain mahu pihak berkuasa menyiasat kadar sewa yang meningkat sehingga puluhan ribu di bandar kecil dan mencecah RM150,000 di ibu negara.

Pada 9 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, lesen bazar Ramadan perlu dibatalkan serta-merta jika didapati telah dipindah milik.

Ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, Anwar mengakui keadaan telah bertambah baik sejak beberapa tahun namun tegaskan pihak berkuasa perlu memastikan hanya pemegang lesen yang mengendalikan bazar berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!