Peniaga bazar Ramadan dilarang jual makanan perangat, basi

KOTA BHARU - Kerajaan negeri mengingatkan peniaga bazar Ramadan tidak menjual makanan basi dan yang dipanaskan semula atau perangat.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, peringatan itu bertujuan memastikan kualiti dan keselamatan makanan dijual kepada pengguna sentiasa terjamin.
“Kami ingin mengingatkan semua peniaga bazar Ramadan agar memastikan makanan dijual adalah segar dan baru dimasak pada hari sama.
“Menjual makanan dipanaskan semula atau basi bukan sahaja melanggar peraturan tetapi juga boleh membahayakan kesihatan pembeli,” katanya selepas lawatan ke persiapan tapak Madinah Ramadan di sini pada Rabu.

Katanya, bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ini, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan untuk memantau dan menguatkuasakan standard penyediaan makanan di bazar Ramadan.
“Pegawai kesihatan akan menjalankan pemeriksaan berkala di semua bazar bagi memastikan peniaga mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan termasuk kemungkinan pembatalan lesen perniagaan,” tegasnya.
Dalam usaha memastikan kebersihan dan keselamatan makanan, pengguna juga disarankan berhati-hati dan memilih gerai mematuhi standard kebersihan.
“Kami menggalakkan orang ramai membuat aduan sekiranya terdapat peniaga tidak mematuhi peraturan.
“Kerjasama antara pengguna dan pihak berkuasa adalah penting dalam memastikan keselamatan makanan di bazar Ramadan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kebiasaannya pada Ramadan akan berlaku pertambahan sisa makanan kerana peningkatan dalam jual beli makanan.
"Bagi mengatasi masalah ini, unit pengurusan sampah negeri akan bekerja lebih masa dalam usaha menjaga kebersihan, sekaligus mengurangkan longgokan sampah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

