Lantikan pegawai khas MB tak gugat pembangkang - Saarani

IPOH - Lantikan Pegawai Khas Menteri Besar Perak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang bukan untuk menggugat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan berkenaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lantikan seramai 26 orang pegawai khas itu bertujuan melancarkan pentadbiran kerajaan di kawasan DUN berkenaan.
Menurutnya, mereka juga bertanggungjawab menghebahkan segala usaha yang dilakukan kerajaan negeri termasuk perancangan Pelan Perak Sejahtera 2030.
"Saya berceramah merata tentang pelan Perak Sejahtera 2030. Saya tak dengar mana-mana ADUN pembangkang pergi ceramah cerita benda ini.
"Jadi arahan saya kepada pegawai khas saya, turun padang beritahu orang ramai apa yang kita buat sekarang. Beritahu supaya orang faham," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Sabtu.
Saarani berkata, lantikan pegawai khas itu juga tidak menjejaskan elaun ADUN sebanyak RM11,000 sebulan yang diterima wakil rakyat pembangkang.
Katanya, begitu juga dengan peruntukan kepada semua pusat khidmat ADUN, termasuk pembangkang yang telah dinaikkan daripada RM7,000 kepada RM10,000 sebulan.
Menurutnya, pegawai khas tersebut dilantik terdiri daripada wakil-wakil parti di dalam kerajaan.
Dalam pada itu, Saarani berkata, pembangkang tidak seharusnya rasa terancam dengan pelantikan pegawai khas tersebut.
Sebelum ini, dalam hantaran di akaun sebuah Facebook mempertikaikan pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar yang didakwa kononnya bertujuan membunuh karier wakil rakyat yang dipilih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

