[VIDEO] Dulu kehilangan anak, sekarang diuji anak kedua sakit pula

A
A
A

PORT DICKSON - Baru saja pulih daripada kesedihan hilang anak pertama dua tahun lalu, kini dia diuji pula dengan anak kedua menghidap hemangioma atau saluran darah tidak normal dan juga masalah jantung.

Malah anak kepada Farah Nadia Khalid, 32, dan Wan Hibatul Haziq Habib, 27, iaitu Wan Niyaz Mukhriz yang kini berusia enam bulan turut disahkan menghidap sindrom budd chairi yang menyebabkan perut bayi terbabit membesar sehingga 52 sentimer (cm).

Menurut Farah Nadia, sepanjang kehamilan, bayinya itu dalam keadaan baik, namun hanya dikesan bermasalah apabila tiba waktu bersalin.

"Waktu itu doktor beritahu yang kandungan saya berisiko dan peluang untuk dilahirkan dalam keadaan selamat adalah 50-50.

"Bila dengar macam itu saya terus terdiam, tapi berserah saja kepada ALLAH dan Alhamdulillah bayi saya selamat dilahirkan," katanya ditemui di Rumah Rakyat Pengkalan Durian di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun kata suri rumah berkenaan, anaknya terpaksa dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal(NICU) untuk pemeriksaan lanjut sebelum disahkan menghidap hemangioma dan mempunyai masalah jantung.

Tambahnya, selepas sebulan dikeluarkan dari NICU, anaknya disahkan pula mempunyai masalah sindrom budd chairi yang menyebabkan perutnya membesar.

Farah Nadia dan suami reda diuji buat kali kedua.
Farah Nadia dan suami reda diuji buat kali kedua.

"Keadaan perut anak saya ini makin membesar sehingga 52cm berbanding sebelum ini 44cm dan itu membuatkan saya dan suami risau.

Artikel Berkaitan:

"Doktor kata tak pasti sama ada perut dia akan membesar lagi atau tidak dan sekarang ini doktor beritahu buat pemantauan saja manakala rawatan susulan di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban dan Hospital Serdang, Selangor," katanya.

Pada masa sama, Farah Nadia turut ikthiar dengan membuat rawatan alternatif dan mendapatkan maklumat daripada pakar perubatan lain.

Bagaimanapun ujarnya, sehingga kini dia masih belum jumpa dengan mana-mana doktor yang dapat membantu merawat anak kesayangannya itu.

"Saya ada hubungi beberapa hospital swasta, tapi setakat ini tiada lagi yang bersedia terima kes anak saya ini.

"Sebagai ibu, tentunya saya akan berusaha untuk cari rawatan terbaik dan yakin dia akan sihat nanti," katanya.

Namun dia mengakui, bukan mudah untuk menerima hakikat anak keduanya sakit, lebih-lebih lagi baharu setahun berdepan kehilangan anak pertama.

Bercerita mengenai perkara itu, Farah Nadia berkata, anak pertamanya meninggal dalam perut ketika usia kandungan 22 minggu.

"Selepas anak pertama saya meninggal dalam kandungan, saya sedikit meroyan kerana tak dapat terima kehilangannya.

"Jadi selepas itu saya dengan suami usaha dapatkan anak kedua, tapi tak sangka pula bila anak lahir ALLAH uji kami buat kali kedua," katanya.

Bagaimanapun dia reda dengan ujian dihadapi dan bersyukur kerana dikelilingi orang-orang baik, yang bukan saja memberi kata-kata semangat, begitu juga bantuan.

"Dari segi kos perubatan itu, Alhamdulillah setakat ini tiada masalah kerana kawan-kawan pun banyak membantu dan Baitulmal pun ada bagi bantuan susu khas.

"Sekarang ini saya hanya serahkan semuanya kepada ALLAH dan berharap ada keajaiban untuknya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!