Juruteknik maut nahas empat kenderaan

Keadaan di lokasi kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer (KM) 26.5 Jalan Kuala Terengganu–Kuala Berang dekat Wakaf Tapai, Marang malam tadi. Foto: Media sosial
Keadaan di lokasi kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer (KM) 26.5 Jalan Kuala Terengganu–Kuala Berang dekat Wakaf Tapai, Marang malam tadi. Foto: Media sosial
A
A
A

MARANG - Seorang juruteknik maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 26.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, dekat Wakaf Tapai di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, mangsa, Mohd Eddy Aziezi Mohd Shahid, 32, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya, nahas belaku kira-kira jam 8.49 malam pada Jumaat itu dipercayai berpunca apabila kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa terbabas lalu dirempuh kenderaan lain.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan buah kenderaan lain yang berada di belakang gagal mengelak lalu bertembung dengan kenderaan mangsa.

"Sebuah lagi kenderaan turut terlibat kemalangan selepas melanggar serpihan yang bertaburan di atas jalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, nahas itu melibatkan tujuh individu terdiri daripada empat pemandu dan tiga penumpang.

"Pemandu kenderaan kedua tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penumpang hadapan mengalami kecederaan ringan.

"Pemandu kenderaan ketiga bersama dua penumpang serta pemandu kenderaan keempat tidak mengalami sebarang kecederaan," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa yang beralamat di Bukit Tunggal di sini telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi had laju dan berhati-hati ketika memandu, terutamanya pada waktu malam atau ketika hujan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!