[VIDEO] Lima maut nahas 3 kenderaan: Ustaz selalu bantu hantar anak dialisis

A
A
A

JEMPOL - Allahyarham, Mohd Najmuddin Shapie yang maut bersama tiga bekas muridnya berusia 16, 18 dan 19 tahun dalam kemalangan di Kilometer 6 Jalan Bahau-Rompin di sini, malam Rabu disifatkan seorang guru yang baik.

Perkara itu diakui Noraini Yusof, 41, ibu kepada Haziq Hakimi Mahindra, 19, yang turut maut dalam nahas terbabit.

Menurutnya, anaknya bukanlah kali pertama keluar dengan Allahyarham, malah ustaz itu jugalah sering membantu membawa Haziq Hakimi menjalani dialisis.

Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Hospital Jempol sebaik saja selesai dibuat bedah siasat. (Gambar kecil: Hakimi Mahindra)
Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Hospital Jempol sebaik saja selesai dibuat bedah siasat. (Gambar kecil: Hakimi Mahindra)

"Anak saya perlu buat dialisis dan ustaz itu yang akan bantu kalau saya tak dapat hantar. Jadi anak saya dah biasa keluar dengan ustaz.

"Waktu kejadian itu saya tahu dia keluar dengan ustaz dan kawan-kawannya. Ustaz itu pula sudah dianggap seperti abang angkat," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Jempol di sini pada Khamis.

Noraini berkata, dia pada awalnya seakan tidak percaya menerima berita mengenai kemalangan terbabit yang diberitahu adiknya kira-kira jam 10. 30 malam.

"Adik saya dapat tahu daripada kawannya yang beritahu anak saya terbabit dalam kemalangan itu dan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Pada mulanya saya ingat kemalangan biasa dan luka sahaja, tidak terfikir yang dia sudah 'tiada'," katanya.

Noraini
Noraini

Bagaimanapun katanya, sebaik datang ke hospital untuk membuat pengecaman mayat dan barulah dia percaya yang anak keduanya itu telah pun meninggal dunia.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lima maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 6 Jalan Bahau-Rompin di sini pada jam 9. 05 malam Rabu melibatkan kenderaan Perodua Axia, Toyota Mark X dan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

Kemalangan itu mengakibatkan pemandu Perodua Axia bersama dua penumpang berusia 18 dan 19 tahun serta pemandu Toyota Marx X disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang belakang Perodua Axia berusia 16 tahun pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!