Dilarang jual gula-gula kenyal dalam talian, pasaran domestik - KKM
![Gula-gula kenyal dilarang penjualannya di semua platform dalam talian dan pasaran domestik kerana menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 [Akta 281].](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/21/3017839.jpg)
SHAH ALAM - Gula-gula kenyal berbentuk mata dilarang penjualannya di semua platform dalam talian dan pasaran domestik kerana menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 [Akta 281].
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) memaklumkan saiz atau bentuk sesuatu makanan adalah tidak dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983.
Menurutnya, kecuali bagi 'konfeksi jeli terkawal' dengan saiz dan bentuk yang berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter hendaklah dilabel dengan 'Amaran: Boleh menyebabkan risiko tercekik' dan perkataan 'Tidak sesuai bagi kanak-kanak di bawah umur tiga tahun'.
"Tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk ini akan dibuat berdasarkan peraturan tersebut.
"Dalam masa yang sama, orang ramai terutama ibu bapa adalah diminta untuk memantau dan menasihati anak-anak supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan, terutama makanan yang mempunyai risiko tercekik.
"Bahaya tercekik adalah satu risiko yang signifikan, terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak," katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, murid Tahun 4 yang dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian pada petang Selasa telah meninggal dunia pada malam Khamis.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP menghembuskan nafas terakhirnya pada jam kira-kira 11 malam.
Tambah kenyataan itu, risiko ini meningkat apabila makanan tidak dikunyah dengan sempurna atau ditelan secara keseluruhan.
Jelasnya, insiden tercekik lebih kerap berlaku dengan makanan yang keras, kenyal, kecil dan berbentuk bulat yang mudah tersekat di saluran pernafasan.
"Sebarang pengambilan apa-apa makanan oleh kanak-kanak hendaklah berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
"KKM akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan, mereka juga boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM serta Facebook PKKM," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

