[VIDEO] 'Lama ibu bapa tunggu zuriat, tak sangka Fahmi pergi'

A
A
A

GEORGE TOWN - Nenek kepada Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin tidak menyangka Sabtu minggu lalu adalah hari terakhir dia dapat berjumpa dengan cucu kesayangannya itu.

Hambiah Kassim, 75, berkata, Mohamad Fahmi pulang ke rumahnya di Tebengau, Alor Setar selama dua minggu pada cuti sekolah yang lalu.

Menurutnya, selepas itu, Mohamad Fahmi pulang ke rumahnya di Sungai Dua namun datang semula ke Alor Setar dan tinggal selama seminggu lagi.

"Dia mai dok di rumah makcik masa cuti sekolah, dok dua minggu. Lepas tu, dia balik ke rumah mak dia. Dia mai balik ke rumah makcik, duduk lagi seminggu. Bila cuti sekolah, dia memang dok balik rumah makcik.

"Kali terakhir makcik jumpa dia pada Sabtu minggu lepas sebelum dia balik ke Sungai Dua sebab Isnin dah nak buka sekolah. Itu lah kali terakhir makcik jumpa dia. Memang tak sangka nak jadi macam ni," katanya ketika ditemui di luar bangunan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang pada Jumaat.

Kematian pelajar Tahun Empat, Mohamad Fahmi (gambar kecil) yang maut akibat tercekik gula-gula kenyal di sekolah merupakan kehilangan besar buat keluarganya terutama ibu bapa arwah.
Kematian pelajar Tahun Empat, Mohamad Fahmi (gambar kecil) yang maut akibat tercekik gula-gula kenyal di sekolah merupakan kehilangan besar buat keluarganya terutama ibu bapa arwah.

Bercerita lanjut, Hambiah berkata, antara kenangan terakhir yang tidak akan dilupakan adalah makan bersama Mohamad Fahmi dan cucu-cucunya yang lain.

"Masa makan tu, dia dengan sepupu-sepupu dia dok bersembang. Depa dok mengusik dia, sebab dia makan guna tangan, sepupu dia guna sudu.

"Dia kata, Tuhan bagi tangan, kena guna. Depa dok gelak-gelak macam tu saja lah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hambiah, Mohamad Fahmi bukan seorang yang banyak bercakap namun mesra dan manja dengannya.

"Walaupun dia bukan jenis bercakap banyak, tetapi masa dia balik ke rumah saya tu, dia nampak lebih seronok.

"Tetapi dalam keadaan seronok tu, kadang-kadang diam juga. Saya pun tak fikir apa-apa yang pelik," katanya.

Nuraini dan Mohammad Fakhruddin (tengah) keluar dari bilik mayat Islam Jabatan Perubatan Forensik HPP selepas proses bedah siasat selesai.
Nuraini dan Mohammad Fakhruddin (tengah) keluar dari bilik mayat Islam Jabatan Perubatan Forensik HPP selepas proses bedah siasat selesai.

Dia menambah, kematian Mohamad Fahmi merupakan kehilangan besar buat keluarganya terutama ibu bapa arwah.

"Ini memang kehilangan besar buat saya dan keluarga. Tapi kami terima dengan reda. Ini ketentuan Tuhan.

"Ibu dan bapa Mohamad Fahmi pun selepas berkahwin agak lama tunggu kehadiran zuriat, tetapi saya yakin mereka berdua reda dengan takdir ini," katanya.

Hamsiah berkata, dia sempat melawat cucunya itu ketika Mohamad Fahmi dirawat di HPP sejak dua hari lalu.

"Dari dia masuk ke sini (HPP), makcik mai dah. Semalam (Khamis) pukul 2 pun sempat masuk, pukul 4 pun sempat masuk tengok dia.

"Tadi pun, sebelum dikafankan, makcik tengok macam-macam tu saja sebab saya sedih. Tak boleh tengok lama-lama, terbayang-bayang keadaannya. Tapi nampak arwah tenang," katanya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Siti Farhani Mohamad Fikri ketika dihubungi berkata, abangnya, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri reda dengan pemergian anak sulungnya itu.

"Abang kata dia reda. Dia kata, sambut ibu baba di syurga nanti," katanya.

Mohamad Fahmi berusia 10 tahun yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP menghembuskan nafas terakhirnya pada jam kira-kira 11 malam Khamis.

Jenazah akan dikebumikan di kampung nenek arwah di Jalan Pekan Darat, Permatang Binjai, Penaga pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohamad Fahmi berada dalam keadaan kritikal di HPP selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.

Mangsa sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak.

Bagaimanapun, ketika berjalan ke tandas, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!