Rayuan bekas majistret ditolak, hukuman penjara 58 tahun serta denda RM1.05 juta kekal

Mohamad Amin (tengah) hadir bagi mendengar rayuannya untuk mengetepikan hukuman dan sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada Mac 2022 di Mahkamah Tinggi Kuantan pada Jumaat.FOTO SINAR HARIAN
Mohamad Amin (tengah) hadir bagi mendengar rayuannya untuk mengetepikan hukuman dan sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada Mac 2022 di Mahkamah Tinggi Kuantan pada Jumaat.FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

KUANTAN - Mahkamah Tinggi Kuantan pada Jumaat mengekalkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta terhadap bekas majistret yang didapati bersalah atas enam pertuduhan berkaitan rasuah.

Keputusan dibuat Hakim Datuk Mohd Radzi Harun selepas menolak rayuan Mohamad Amin Shahul Hamid, 44, selaku perayu bagi mengetepikan hukuman dan sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada Mac 2022.

Mohd Radzi turut membenarkan Mohamad Amin menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara yang ditetapkan bermula Jumaat selepas perayu memohon untuk membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah turut menaikkan jaminan asal daripada RM50,000 kepada RM100,000 dengan dua penjamin bagi tujuan tersebut.

Mohamad Amin (tengah) tengah dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuantan selepas rayuannya untuk mengetepikan hukuman dan sabitan yang diputuskan mahkamah Sesyen ditolak. FOTO SINAR HARIAN.
Mohamad Amin (tengah) tengah dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuantan selepas rayuannya untuk mengetepikan hukuman dan sabitan yang diputuskan mahkamah Sesyen ditolak. FOTO SINAR HARIAN.

Terdahulu, Mohd Radzi berkata kesemua keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini adalah adil, saksama dan tidak keterlaluan.

Malah, jelasnya ia sejajar dengan kehendak Akta SPRM.

"Maka, rayuan perayu mengenai hukuman adalah dengan ini ditolak," katanya dalam prosiding itu.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ezuain Farhana Ahmad manakala Mohamad Amin diwakili peguam R Arvend serta Arvind Santhanam.

Pada 18 Mac 2022, Mohamad Amin dijatuhi hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didapati bersalah terhadap enam kes pertuduhan berkaitan rasuah.

Mahkamah turut memerintahkan 72 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak selama 12 tahun bermula tarikh sabitan.

Mohamad yang pernah berkhidmat di Mahkamah Lipis dan Raub didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.

Suapan tersebut sebagai dorongan untuk mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup semasa kes itu didengar di hadapan tertuduh.

Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!