185 kanak-kanak GISBH diserah kepada keluarga dengan bon, syarat

Anfaal Saari
Anfaal Saari
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 185 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal dikaitkan dengan GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah diserahkan kepada keluarga dengan bon berserta syarat oleh pihak mahkamah.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, Subseksyen 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001 memberi kuasa kepada mahkamah bagi mengenakan sebarang syarat.

"Ini termasuklah memberikan apa-apa arahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah bagi maksud memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tungku) mengenai bilangan kanak-kanak yang telah dilepaskan dengan bon kepada penjaga pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan DUN Selangor pada Jumaat.

Mengulas pertanyaan Yi Wei berhubung jenis bon dan pemantauan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dan langkah penguatkuasaan, Anfaal memberitahu, jenis bon yang dikenakan ialah seperti yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 30(1)(a) iaitu bon tanpa cagaran.

"Manakala terdapat syarat tambahan di bawah Subseksyen 30(8) seperti ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan kepada Pelindung Kanak-Kanak sekiranya ingin bertukar alamat atau pun tempat tinggal.

"Ibu bapa atau penjaga juga hendaklah memastikan sebarang perbuatan berunsur penganiayaan, penderaan dan pengabaian tidak akan berlaku ke atas kanak-kanak ini," ujar beliau.

Selain itu, katanya, ibu bapa atau penjaga hendaklah memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan atau persekolahan formal sewajarnya selain tidak boleh memindahkan hak penjagaan ke atas kanak-kanak kepada orang lain atau meletakkan mereka di suatu pusat tanpa pengetahuan Pelindung dan kebenaran mahkamah.

"Pelindung bila-bila masa berhak untuk hadir dan melawat kanak-kanak di alamat tempat tinggal dan hendaklah memastikan segala keperluan dan kebajikan mereka terjaga dan terjamin.

Artikel Berkaitan:

"Ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama kanak-kanak ke Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran tiga bulan sekali bagi tujuan pengawasan dan penyeliaan bagi kanak-kanak sepanjang perintah ini berkuat kuasa;

"Ibu bapa atau penjaga hendaklah hadir bersama kanak-kanak untuk mengikuti apa-apa program atau aktiviti yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana agensi kerajaan berkaitan sepanjang perintah ini berkuat kuasa," ujar beliau.

Beliau memberitahu, kanak-kanak itu juga tidak boleh dijadikan kandungan di media sosial atau mana-mana platform media.

Mengulas mengenai kriteria kesesuaian penjaga bagi membenarkan pelepasan anak-anak, Anfaal menjelaskan, penilaian itu berdasarkan empat perkara iaitu ketersediaan sosial keluarga menerima kanak kanak, ekonomi keluarga, persekitaran tempat tinggal dan memenuhi keperluan anak anak persekolahan," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!