Bapa dakwa anak autisme didera di taska, ada kesan lebam di belakang badan

Belakang badan kanak-kanak autisme lebam, didakwa didera di taska. Kredit Facebook Nazmi Zulkifli.
Belakang badan kanak-kanak autisme lebam, didakwa didera di taska. Kredit Facebook Nazmi Zulkifli.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak autisme, Ayden Nazmi didakwa menjadi mangsa dera di taska apabila bapanya menemukan kesan lebam yang besar pada belakang badan ketika ingin memandikan anak sulungnya itu.

Bapanya, Nazmi Zulkifli berkata, kejadian itu berlaku pada 15 Januari lalu sebaik menjemput Ayden pulang dari taska dan apabila ditanya mengenai perkara tersebut, anaknya tidak mampu memberikan respons kerana berdepan masalah pertuturan.

Menurutnya, dia dan isteri keesokan harinya bergegas ke klinik untuk mendapatkan rawatan buat Ayden termasuk bertanyakan pandangan tentang insiden berkenaan, namun doktor pakar merumuskan ia kesan dipukul, bukannya terjatuh daripada gelongsor sepertimana dikatakan guru taska.

Jelas pemuda terbabit, pihaknya cuba menghubungi guru kepada Ayden, tetapi tidak berjaya.

“Pada pagi 16 Januari, isteri saya yang pulang ‘on-call’ terus bawa Ayden jumpa doktor pakar di Hospital Shah Alam. Dia juga menghubungi cikgu sebelum ini dan apabila ditanya melalui telefon, katanya mungkin Ayden terjatuh semasa bermain gelongsor.

“Semasa di hospital, isteri saya meminta pendapat lima doktor pakar dan kesemuanya mengatakan Ayden luka kerana dipukul, bukannya terjatuh. Kemudian, dia terus buat laporan polis sepertimana dicadangkan doktor.

“Selama sebulan ini, saya tidak menceritakannya kerana kes masih dalam siasatan polis dan tiada seorang pun cikgu dari taska itu yang mengaku, semua kata tak tahu ada kesan lebam pada badan Ayden.

“Lebih malang, tiada kamera litar tertutup (CCTV) dalam kelas Ayden kerana dikatakan rosak dan sedang diselenggara. Kenyataan bahawa Ayden jatuh gelongsor juga tak benar kerana dalam CCTV, tiada kelibat Ayden bermain di sana atau sesiapa pun yang jatuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Nazmi turut mendakwa, pihaknya diberitahu pada Khamis bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘no further action’ (NFA), malah tiada tangkapan reman dibuat ke atas mana-mana guru taska berkenaan sehingga sekarang.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya lagi, alasan diberi disebabkan tiada rakaman CCTV dan bukti tidak mencukupi meskipun terdapat laporan perubatan disahkan pihak hospital.

“Laporan pusat terapi pula mengatakan perubahan Ayden sangat ketara selepas kejadian. Ini berita yang amat mengecewakan kami sekeluarga kerana begitu mudah kes dilepaskan.

“Selamatkah anak-anak kita dihantar ke taska hanya kerana tiada bukti CCTV, bahkan semua pihak yang bertanggungjawab terlepas begitu sahaja?

“Justeru, kami memohon doa agar keadilan terbela buat Ayden. Doakan semoga semua yang terlibat menganiaya Ayden sama ada secara terus atau tersembunyi diberi pembalasan setimpal jika tidak di dunia, di akhirat kelak,” ujar Nazmi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!