Polis minta saksi tampil kes budak austime dakwa didera di taska

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis meminta mana-mana saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak autisme yang dipercayai cedera semasa berada di sebuah taska di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pihak Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dengan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).

Menurutnya, setakat ini tiada keterangan yang kukuh untuk meneruskan kes terbabit.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian juga tidak nampak kejadian mangsa dicederakan.

"Buat masa ini tiada keterangan untuk teruskan siasatan dan sekiranya terdapat bukti-bukti lain yang dikemukakan oleh mana-mana saksi, pihak polis akan teruskan siasatan sebelum merujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, laporan kejadian terbabit dibuat oleh ibu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu pada jam 11.18 pagi, 16 Januari lalu.

Katanya, kejadian itu disedari bapa mangsa semasa hendak memandikan anaknya itu kira-kira jam 9.30 malam sehari sebelum kejadian.

"Bapa kanak-kanak itu melihat kesan kemerahan di bahagian belakang badan mangsa serta di bawah mata kanan mangsa.

"Selain itu ibu mangsa juga memaklumkan anaknya itu tidak aktif dan kurang berinteraksi semasa diambil dari taska pada hari yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan dan rawatan.

Tambah Mohd Iqbal, hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai autisme ringan (Mild Austism) dan sukar berkomunikasi.

"Kanak-kanak itu belajar di taska tersebut sejak tahun 2022 dan ini merupakan kejadian kali pertama berlaku.

"Tempat kejadian merupakan sebuah rumah teres setingkat dijadikan sebuah taska dan beroperasi sejak tahun 2021 dengan mempunyai lesen Majlis Bandaraya Shah Alam sehingga 14 Mac 2025," ujarnya.

Jelasnya, mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor S Vemal di talian 011-39216101.

Sebelum itu, tular gambar kanak-kanak lelaki didakwa mengalami kecederaan semasa berada di sebuah taska di Seksyen 7, Shah Alam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!