Kanak-kanak OKU didera: Taska didapati beroperasi tidak ikut peraturan

Laporan Sinar Harian berhubung seorang bapa mendakwa anak autisme didera di taska, ada kesan lebam di belakang badan.
Laporan Sinar Harian berhubung seorang bapa mendakwa anak autisme didera di taska, ada kesan lebam di belakang badan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Taman asuhan kanak-kanak (taska) yang terpalit kes seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun disyaki didera di Shah Alam, Selangor, didapati beroperasi tidak mengikut peraturan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan awal mendapati premis terbabit didaftarkan sebagai tadika dan tidak dibenarkan beroperasi sebagai taska serta menerima kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah

"JKM telah mengeluarkan notis larangan beroperasi kepada pengusaha tadika itu kerana kesalahan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak.

"Pihak JKM juga telah meminta pengusaha tadika itu untuk hadir ke pejabat JKM Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat susulan berkaitan kes ini," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut JKM, kes dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan selanjutnya.

JKM mengeluarkan kenyataan itu susulan siasatan terhadap aduan yang dibuat ibu bapa seorang kanak-kanak autistik yang mendakwa anak mereka didera di premis terbabit.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan dan telah menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Beliau berkata, laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh ibu mangsa pada 11.18 pagi, 16 Jan lepas, yang memaklumkan bahawa suaminya menemukan kesan kemerahan di belakang badan serta bawah mata kanan mangsa.

Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!