Wabak kusta: Penduduk Kampung Chergun, Guntur dinasihati beri kerjasama

PUTRAJAYA - Penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan Guntur, Negeri Sembilan dinasihati agar memberi kerjasama bagi membolehkan proses saringan dilaksana pada Sabtu ini.
Ia susulan penularan wabak kusta di kawasan perkampungan berkenaan sehingga meragut nyawa seorang remaja.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memaklumkan, pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah mengambil langkah proaktif berhubung perkara tersebut.

"Jabatan ini juga mengambil maklum tindakan kerajaan Negeri Sembilan yang melaksanakan kuarantin di kawasan berkenaan.
"JAKOA akan terus memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Berdasarkan kronologi, wabak itu dikesan selepas lima penduduk KOA Chergun dan empat dari KOA Guntur disahkan menghidap penyakit kusta pada 2 Januari lalu.
Satu perbincangan telah diadakan pada 22 Januari antara Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah Kuala Pilah Tampin (PKOAD KPT) bersama PKD dan saringan secara agresif telah dijalankan oleh KKM kepada semua penduduk kedua-dua kampung berkenaan.

Pada 15 Februari, KKM telah menjalankan saringan seterusnya kepada mereka yang belum berbuat demikian.
Tiga hari kemudian, seorang remaja, Shynaiza Hamzah,18, meninggal dunia di rumah di KOA Chergun setelah mengalami demam selama seminggu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

