Keputusan representasi pemandu lori sebab kematian wanita 19 Mac

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh baharu keputusan representasi seorang pemandu lori yang memandu dalam keadaan pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang wanita September tahun lalu.
Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasarudin memaklumkan belum menerima keputusan tersebut daripada pihak pembelaan.
Peguam, R S Kerthinee berkata, beliau cuba berjumpa dengan anak guamnya di Penjara Jelebu namun diberitahu dia telah dipindahkan ke penjara lain.
Beliau kemudian memohon tarikh baharu untuk keputusan representasi terbabit.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Jimhar Albasar, 32 sebagai pemandu lori jenis Nissan didapati memandu kenderaan itu di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 31 tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 4.15 petang di Jalan Persiaran Negeri, di Nilai, pada 27 September 2024.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 serta hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan pada prosiding kes 17 Januari lalu, peguamnya memaklumkan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.
Media sebelum ini melaporkan pemandu lori yang terbabas dan merempuh lima kenderaan sehingga menyebabkan kematian seorang wanita di Persiaran Negeri, dekat persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, Nilai, didapati positif dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

