Polis rakam keterangan pemandu lori

GEORGE TOWN - Polis telah merakamkan kenyataan pemandu lori yang terlibat dengan kemalangan di susur masuk ke Jalan Besar Sungai Bakap-Jalan Pengkalan mengakibatkan dua beradik parah setelah putus tangan, kaki pada Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, keterangan pemandu berusia 42 tahun itu diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, ujian saringan air kencing juga telah dilakukan terhadap lelaki berkenaan namun mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.
"Kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
"Kita meminta semua pihak agar memberi ruang dan masa kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kod QR Kesedaran Scam di Bukit Jambul di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua beradik parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di susur jalan tersebut kira-kira 7.15 pagi Selasa.
Mangsa berusia tujuh tahun dilaporkan putus tangan kiri manakala adiknya berusia lima tahun putus kaki kanan akibat digilis lori berkenaan.
Masing-masing murid Tahun Satu dan tadika itu membonceng motosikal ditunggang nenek mereka berusia 50-an ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Selain dua beradik itu, wanita berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!