Polis rakam keterangan pemandu lori terlibat kemalangan 2 beradik cedera parah

Laporan Sinar Harian berhubung kemalangan membabitkan motosikal dan lori ddi Jalan Besar Sungai Bakap, Nibong Tebal Selasa lepas
Laporan Sinar Harian berhubung kemalangan membabitkan motosikal dan lori ddi Jalan Besar Sungai Bakap, Nibong Tebal Selasa lepas
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis telah merakam keterangan pemandu lori tanah terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal sehingga menyebabkan dua beradik cedera parah dalam kejadian di Jalan Besar Sungai Bakap, Nibong Tebal dekat sini Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata polis mengambil keterangan lelaki berusia 42 tahun itu bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas pemandu lori itu juga menunjukkan dia bebas pengaruh dadah dan pihak polis ketika ini sedang melengkapkan kertas siasatan.

"Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kod QR Kesedaran Scam ‘Elak Kena Scam’ di sini.

Program berkenaan adalah inisiatif Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang bersama Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang, yang turut dihadiri Pengerusi MCPF negeri Datuk Seri Ong Poh Eng.

Media pada Selasa melaporkan dua beradik cedera parah selepas motosikal yang dibonceng mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di susur masuk ke Jalan Besar Sungai Bakap.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Chong Boo Khim dilaporkan berkata kejadian kira-kira 7.35 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia tujuh tahun putus tangan kiri, manakala adiknya berusia lima tahun putus kaki kanan akibat digilis lori berkenaan.

Dua beradik lelaki itu menaiki motosikal yang ditunggang neneknya berusia 50 tahun sedang dalam perjalanan ke sekolah, dan wanita berkenaan turut mengalami kecederaan pada bahagian kepala. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!