Agenda sektarianisme sering dieksploitasi bakar ketegangan sesama umat Islam - Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua negara yang berucap dalam Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Manama, Bahrain pada Rabu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua negara yang berucap dalam Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Manama, Bahrain pada Rabu.
A
A
A

BAHRAIN – Dunia Islam perlu bersatu dalam menangani agenda sektarianisme yang sering dieksploitasi sebagai alat untuk membakar ketegangan dalam kalangan umat Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan sektarianisme sebagai senjata hanya akan melemahkan kerjasama politik serta menggagalkan usaha membina kesatuan yang menjadi dambaan ummah.

Diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua negara yang berucap dalam Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di sini pada Rabu, Anwar turut berpeluang berkongsi pandangan bersama para ulama serta sarjana Islam mengenai isu sektarianisme dan solidariti terhadap Palestin serta Syria.

"Alhamdulillah, ucapan saya selari dengan gesaan Imam Besar Al Azhar Al Sharif, Prof Dr Ahmed El-Tayyeb, yang menyeru agar para sarjana dan pemimpin dunia Islam memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan serta menolak budaya fanatisme agama yang semakin berakar," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Manama, di sini pada Rabu.

Sektarianisme merujuk kepada pemisahan, perpecahan, atau ketegangan dalam masyarakat yang berpunca daripada perbezaan fahaman agama, etnik, atau ideologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan dunia Islam bersatu dalam menangani agenda sektarianisme yang sering dieksploitasi sebagai alat melaga-lagakan umat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan dunia Islam bersatu dalam menangani agenda sektarianisme yang sering dieksploitasi sebagai alat melaga-lagakan umat Islam.

Dalam konteks dunia Islam, sektarianisme sering dikaitkan dengan konflik antara kumpulan mazhab yang berbeza seperti Sunni dan Syiah, yang boleh dieksploitasi untuk melemahkan perpaduan ummah.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa agar dunia Islam menzahirkan solidariti yang lebih besar terhadap rakyat Palestin, bukan sekadar menerusi retorik, tetapi melalui tindakan kolektif yang melibatkan usaha diplomatik yang sistematik dan berterusan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau menegaskan dukungan ekonomi turut diperlukan untuk memperkukuh kedudukan Palestin di persada antarabangsa.

"Pembunuhan beramai-ramai, peluasan penempatan haram dan pengusiran berterusan warga Palestin menuntut lebih daripada sekadar kecaman.

"Dunia Islam mesti komited dalam menyediakan bantuan pendidikan, hak asasi, akses kepada kesihatan serta pembangunan infrastruktur untuk rakyat Palestin," ujarnya lagi.

Selain Palestin, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan membina keamanan di Syria, dengan menyatakan bahawa negara itu berpotensi menjadi model perdamaian yang boleh dijadikan rujukan oleh dunia Islam.

"Tanda-tanda awal penyesuaian dan usaha membina keamanan di Syria bukan sahaja membawa harapan kepada rakyat negara itu, tetapi juga memberi peluang kepada seluruh ummah untuk menyusun masa depan mereka dengan lebih baik," katanya.

Mengakhiri ucapannya, Anwar menyeru seluruh dunia Islam untuk bersatu demi mencapai matlamat bersama dan mencipta sejarah yang mencerminkan tindakan berintegriti, komitmen tidak berbelah bahagi serta kesatuan yang utuh.

"Insya-ALLAH, biar sejarah mencatat bahawa – melalui tindakan, integriti, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi – kita sememangnya satu ummah, dengan satu tujuan yang sama," katanya penuh harapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!