Malaysia perlukan pemimpin sanggup amalkan undang-undang – Tun M

Dr Mahathir dalam podcast Apa Cerita? bertajuk Menyelusuri memori Dr Mahathir dan persahabatan beliau bersama Tun Daim Zainuddin yang dimuat naik di YouTube pada Selasa.
Dr Mahathir dalam podcast Apa Cerita? bertajuk Menyelusuri memori Dr Mahathir dan persahabatan beliau bersama Tun Daim Zainuddin yang dimuat naik di YouTube pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia tidak memerlukan seorang pemimpin yang benar-benar cekap mentadbir tetapi memerlukan pemimpin yang sanggup mengamalkan peraturan yang ditetapkan dalam undang-undang negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya tidak cekap mentadbir, pemimpin tersebut boleh mendapat nasihat daripada rakan-rakan pemimpin lain dalam kerajaan.

Dr Mahathir mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini cuba menguasai bidang kuasa yang bukan di bawah kuasa beliau.

“Kita tak nak pemimpin yang buat keputusan sendiri sehingga melebihi daripada kuasa (yang ada pada) beliau.

“Kita dapati bahawa Perdana Menteri cuba menguasai dan pernah mempengaruhi bahagian yang bukan hak beliau,” dakwanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemu bual dalam podcast Apa Cerita? bertajuk Menyelusuri memori Dr Mahathir dan persahabatan beliau bersama Tun Daim Zainuddin yang dimuat naik di YouTube pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kuasa kerajaan di dalam pemerintahan berdasarkan demokrasi berparlimen terbahagi kepada tiga bahagian iaitu legislatif (perundangan) yang membuat undang-undang dan dasar, eksekutif yang melaksanakan keputusan kerajaan dan kehakiman yang menentukan sama ada sesuatu perkara itu bertentangan dengan undang-undang ataupun tidak.

Namun, Dr Mahathir mendakwa, Perdana Menteri yang sepatutnya terlibat dalam soal pembentukan dasar sekarang ini menentukan siapa yang dipilih untuk dilantik sebagai Peguam Negara dan sebagainya.

“Jadi bila beliau dapat kuasa untuk memilih, beliau mempengaruhi pendapat dan beliau yang menentukan pemilihan,” dakwanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi berpendapat, sistem pemilihan Perdana Menteri di negara ini perlu diubah bagi memberi peluang kepada anak-anak muda yang berbakat untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Katanya, setiap parti tidak seharusnya menentukan awal-awal siapa calon Perdana Menteri mereka sebelum berlangsungnya pilihan raya seperti mana kelaziman.

“Kita dapati ramai anak muda berbakat (namun) kita tak tahu kebolehan mereka sebenar-benarnya. Jadi (sepatutnya) kita beri peluang kepada semua anak muda ini bersaing (untuk) jadi Perdana Menteri.

“Oleh itu, janganlah sebelum pilihan raya (sudah) ditentukan orang ini, orang itu jadi Perdana Menteri,” sarannya.

Dr Mahathir menegaskan, satu panel khas boleh dilantik untuk menyenaraikan nama misalnya hingga 20 pemimpin muda yang berbakat untuk diketengahkan sebagai Perdana Menteri dan nama berkenaan boleh disenarai pendek apabila parti diwakilinya menang.

“Kalau parti dia menang pada masa itu dan dia sanggup (pegang jawatan) kita senarai pendek nama misalnya 10 orang dan kita pilihlah yang mana satu.

“Saya pun masa jadi wakil rakyat, bukan orang kenal saya. Orang Kedah kenallah. Bila dah jadi wakil rakyat barulah kita boleh tunjuk kebolehan kita,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!