Insentif khas kurangkan kesan kenaikan tarif elektrik kepada pengguna

Mohamad Yusrizal (baris belakang, tiga dari kanan) dan Wan Ishak (baris belakang, empat dari kanan) ketika menghadiri program di Alor Setar.
Mohamad Yusrizal (baris belakang, tiga dari kanan) dan Wan Ishak (baris belakang, empat dari kanan) ketika menghadiri program di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan digesa memperluaskan insentif kepada pemain industri berat supaya menggunakan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kesan kenaikan tarif elektrik kepada pengguna.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, langkah itu akan membantu mengurangkan kesan semakan tarif elektrik kepada industri yang akan dilaksanakan pada Julai depan.

"Kami harap kerajaan pertimbangkan untuk menawarkan insentif kepada industri berat kerana diumumkan 85 peratus pengguna tidak akan terjejas oleh semakan tarif.

"Kami percaya 15 peratus yang akan terjejas adalah industri berat, kebimbangan kami ialah mereka akan menyerap kos tambahan kepada pengguna.

“Mereka mempunyai alternatif dalam penjimatan penggunaan elektrik sekiranya menggunakan tenaga boleh diperbaharui atau solar,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi libat urus Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersama Pertubuhan Kebajikan Wanita Kedah pada Rabu.

Hadir sama, Pengurus Besar TNB Kedah/Perlis, Wan Ishak Soed dan Ketua Bahagian Runcit TNB Kedah, Ahmad Fadhli Aziz.

Pada Disember, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan tarif elektrik tidak sepatutnya menjejaskan mata pencarian majoriti rakyat.

Anwar berkata demikian sebagai respons cadangan TNB mengenai tarif baharu yang akan dilaksanakan pada Julai ini.

Sementara itu, Wan Ishak berkata, TNB akan terus melibatkan pengguna untuk mendidik mereka mengenai kepentingan amalan penggunaan tenaga cekap dan memilih barangan elektrik cekap tenaga untuk kegunaan harian.

Artikel Berkaitan:

"Untuk tahun ini, kami memulakan sesi libat urus dengan suri rumah kerana mereka menghabiskan sebahagian besar masa di rumah.

"Objektif kami adalah mendidik mereka mengenai amalan tenaga cekap di rumah yang bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik, tetapi mengurangkan jejak karbon kesan aktiviti harian," katanya.

Menurutnya, program tersebut bukan sahaja melibatkan pengguna domestik tetapi diperluaskan kepada semua pengguna termasuk industri berat dan ringan.

“Ia antara usaha kita menyokong aspirasi kelestarian tenaga, alam sekitar dan peralihan tenaga daripada tenaga konvensional,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!