[VIDEO] Bekas pengurus jualan dituduh minta, terima rasuah lebih RM600,000
MELAKA - Seorang bekas pengurus jualan di sebuah bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas 58 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM600,903 daripada dua firma guaman sebagai dorongan dan upah memberi rujukan kes melibatkan urusan pinjaman perumahan, lapan tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Faqih Mustapha, 36, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan termasuk 29 pertuduhan menerima suapan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan 29 pertuduhan bagi kesalahan meminta suapan, tertuduh didakwa meminta rasuah untuk diri sendiri berjumlah RM305,465, iaitu RM304,585 daripada Tetuan Arizal Jailani & Co dan RM880 daripada Tetuan Abdul Hakim Abdul Rahman & Co sebagai dorongan untuk diberikan rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan dengan MBSB Bank oleh pegawai eksekutif yang berkhidmat di bawah seliaan tertuduh.

Tertuduh juga didakwa atas 29 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM295,438 daripada firma guaman sama sebagai upah membantu mendapatkan rujukan-rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi berbeza termasuk di cawangan Maybank Melaka, Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini antara Jun 2017 hingga 13 September 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Noor Julieana Yahaya dan Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan berjumlah RM210,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.
Tertuduh diwakili peguam Chua Yong Yi dan Andrew Lourdes memohon mahkamah memberikan jaminan RM60,000 memandangkan tertuduh tidak lagi bekerja selain mempunyai tiga orang anak.
Hujah peguam lagi, tertuduh telah 14 bulan berhenti kerja dan turut menjaga ibu bapanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM87,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 11 April depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
