Eksekutif bank nafi minta, terima rasuah

Nurulhayat (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Selasa.
Nurulhayat (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang eksekutif di sebuah bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas 15 tuduhan meminta dan menerima rasuah hampir RM9,000 daripada tiga firma guaman dalam tempoh empat tahun.

Tertuduh, Nurulhayat Mohamad Nor, 38, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, ibu kepada tiga orang anak itu didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM8,920.79 sebagai upah menguruskan pinjaman perumahan daripada tiga firma guaman.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di empat lokasi syarikat kewangan di Taman Melaka Raya, Taman Merdeka dan Jalan Hang Tuah, di sini.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah dan nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Athirah Zainudin mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM46,000 bagi semua pertuduhan selain memohon syarat-syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh termasuk menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Peguam, Muhammad Aizat Fakri yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan suami kepada anak guamnya yang menjadi penjamin, hanya bekerja sebagai peniaga atas talian dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM21,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin bersetuju dengan syarat-syarat tambahan yang dicadangkan pendakwa raya.

Mahkamah turut menetapkan 11 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!