Tanam 235 pokok bunga 1km ceriakan kampung

Penduduk memilih anak pokok yang sesuai untuk ditanam di sepanjang laluan masuk ke Kampung Sungai Haji Mohammad, Bagan Datuk pada Selasa.
Penduduk memilih anak pokok yang sesuai untuk ditanam di sepanjang laluan masuk ke Kampung Sungai Haji Mohammad, Bagan Datuk pada Selasa.
A
A
A

BAGAN DATUK - Demi memastikan suasana kampung kembali ceria, penduduk Kampung Sungai Haji Mohammad di sini mengambil inisiatif menanam 235 pokok bunga sejauh satu kilometer secara bergotong-royong pada Selasa.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Haji Mohammad, Muhammad Hadi Kamil Md Radzi berkata, idea tersebut tercetus kerana mahu memberikan suasana baharu di kampung tersebut.

Menurutnya, usaha tersebut juga dibuat bagi mengembalikan zaman kegemilangan Kampung Sungai Haji Mohammad yang pernah memenangi Anugerah Kampung Indah Peringkat Kebangsaan pada 1997.

Beberapa penduduk sedang membersihkan kawasan yang menjadi lokasi penanaman pokok bunga di Kampung Sungai Haji Mohammad.
Beberapa penduduk sedang membersihkan kawasan yang menjadi lokasi penanaman pokok bunga di Kampung Sungai Haji Mohammad.

"Selain itu kita juga mahu memberikan persekitaran yang lebih segar sekali gus menanam semangat kerjasama antara penduduk kampung ini.

"Inisiatif dimulakan oleh ahli JPKK mencari pokok bunga yang sesuai sekitar di kampung sebelum disemai selama dua bulan dan ditanam secara bergotong-royong," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muhammad Hadi Kamil berkata, sebanyak RM1,000 dibelanjakan oleh JPKK bagi tujuan pembelian baja, tanah hitam, polibeg dan peralatan berkaitan.

Katanya, seramai 40 orang termasuk ahli JPKK turut serta dalam gotong-royong selama dua jam itu untuk menanam pokok bunga di tepi jalan masuk ke kampung berkenaan.

Jelasnya, pokok bunga yang dipilih untuk ditanam antaranya ialah bunga kertas, bunga dulang dan bunga puding.

Artikel Berkaitan:

Dua penduduk Kampung Sungai Haji Mohammad menanam pokok bunga di kampung berkenaan.
Dua penduduk Kampung Sungai Haji Mohammad menanam pokok bunga di kampung berkenaan.

"Setiap penduduk kampung bersama ahli JPKK bertanggungjawab untuk menjaga pokok bunga ini sehingga besar melalui aktiviti gotong-royong berkala.

"Kita mengharapkan program mengindah dan menceriakan kampung ini akan menghidupkan kembali landskap Kampung Sungai Haji Mohammad," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!