Polis siasat wajah, puisi fahaman komunisme di Semenyih

KAJANG - Satu laporan polis dibuat berhubung ukiran wajah Pengerusi Parti Komunis China dan tulisan puisi fahaman komunisme yang terdapat pada batu di sebuah memorial di Semenyih, dekat sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan tersebut daripada seorang wanita warga tempatan pada jam 4.16 petang.
Beliau berkata, laporan tersebut menyatakan terdapat batu ukiran wajah Mao Zedong bersama tulisan puisi berideologi komunisme di sebuah kawasan memorial.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis ke atas aduan tersebut secara menyeluruh.
"Ia termasuk satu video viral berdurasi dua minit 12 saat di dalam sosial media Tiktok yang membahaskan isu tersebut.
"Polis sudah rakam tiga keterangan saksi berhubung kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jelas beliau, kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 dan penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis yang berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
