IDF keras kepala, tak mahu berganjak dari Lubnan

Kereta kebal Merkava milik IDF dikerahkan ke kawasan bersempadan Lubnan.
Kereta kebal Merkava milik IDF dikerahkan ke kawasan bersempadan Lubnan.
A
A
A

BEIRUT - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) masih berdegil apabila tetap mahu mengekalkan kedudukan di lima lokasi di selatan Lubnan.

Keputusan yang melanggar syarat perjanjian gencatan senjata bersama Hizbullah itu dibuat selepas seluruh pasukan mereka sepatutnya berundur dari kawasan sempadan itu pada Selasa.

Menteri Pertahanan, Israel Katz berkata, IDF akan terus berada di zon penampan dengan kawalan ke atas lima kedudukan.

"Kami akan bertindak tegas tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran dibuat Hizbullah," katanya tidak lama selepas tarikh akhir yang ditetapkan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) tamat.

Terdahulu, sumber keselamatan Lubnan mengesahkan askar Zionis telah berundur dari kesemua perkampungan sempadan melainkan lima lokasi yang dimaklumkan Tel Aviv.

Katz memberi alasan keputusan tersebut kononnya mengikut hierarki politik untuk mengekang sebarang ancaman dari Lubnan.

"Pasukan kami juga telah memperkukuhkan kedudukan di sempadan. Hizbullah perlu berundur sepenuhnya dari Sungai Litani.

"Tentera Lubnan perlu melucutkan senjata mereka di bawah pengawasan mekanisme ditubuhkan Amerika Syarikat (AS)," ujarnya dengan angkuh.

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, tentera Lubnan sepatutnya yang mengawal sempadan bersama anggota misi pengaman setelah pengunduran IDF dalam tempoh 60 hari, namun tempoh itu dilanjutkan. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!