Suspek kes tembak di Setia Alam guna taktik ala 'GTA' untuk menyamun

Mayat suspek dibawa ke HTAR Klang selepas ditembak mati dalam kejadian di Pulau Ketam pada Selasa.
Mayat suspek dibawa ke HTAR Klang selepas ditembak mati dalam kejadian di Pulau Ketam pada Selasa.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Taktik ala permainan video 'Grand Theft Auto (GTA)' yang dilakukan penjenayah dikenali sebagai Ah Boy untuk melakukan samun bersenjata akhirnya tumpas selepas ditembak mati dalam kejadian di Pulau Ketam di sini pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek terlibat dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam, 8 Februari lalu.

Hussein (dua dari kiri) ditemui pemberita dalam sidang akhbar di Jeti Pulau Ketam, Klang mengenai kejayaan menumpaskan kegiatan penjenayah.
Hussein (dua dari kiri) ditemui pemberita dalam sidang akhbar di Jeti Pulau Ketam, Klang mengenai kejayaan menumpaskan kegiatan penjenayah.

Menurutnya, selepas kejadian itu, suspek berusia lingkungan pertengahan 30-an itu telah melarikan diri ke Melaka selama lima hari dengan menaiki kenderaan e-hailing.

"Kemudian suspek telah pergi ke Banting dan dua hari lepas dikesan berada di Sabak Bernam untuk melakukan jenayah.

"Selepas insiden di Setia Alam, suspek terlibat dengan lima kes samun bersenjata api, pecah rumah dan curi kenderaan," katanya dalam sidang akhbar di Jeti Pulau Ketam di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek bergerak ke destinasi terbabit menaiki e-hailing selain lori dengan cara mengugut pemandunya dengan menunjukkan pistol.

Katanya, suspek secara sendirian kemudian bersembunyi di Pulau Ketam sejak Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Polis berjaya menjejaki suspek di sebuah hotel di Pulau Ketam sebelum berlaku insiden tembak menembak antara suspek dan polis kira-kira jam 3 pagi.

"Suspek maut di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. Polis turut menemui dua pucuk pistol di lokasi," katanya.

Mayat suspek dibawa ke HTAR Klang untuk bedah siasat.
Mayat suspek dibawa ke HTAR Klang untuk bedah siasat.

Mengulas lanjut, dedah Hussein, suspek berasal dari Klang mempunyai 15 rekod jenayah dan dadah terutama kes samun dengan senjata api selain rekod dikehendaki termasuk bersabit aktiviti pengedaran dadah.

"Pertama kali suspek terlibat jenayah pada tahun 2014 secara solo dan kumpulan kecil melakukan samun kedai emas atau premis lain. Tapi sejak pertengahan tahun lepas dia bergerak sendirian," ujarnya.

Tambah beliau, polis juga masih menyiasat dari mana suspek memperoleh pistol terbabit serta sekiranya suspek terbabit dalam kumpulan kongsi gelap.

"Kita juga menyiasat sama ada Pulau Ketam ini menjadi lokasi transit suspek untuk melarikan diri ke lokasi lain," katanya.

Jelasnya, semasa kejadian di Setia Alam, suspek disyaki hendak melakukan samun premis di pusat beli-belah itu.

Tegasnya, polis berjaya menyelesaikan kes ini dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan isu sedemikian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!