Tambah baik modul latihan polis bantuan

Modul latihan polis bantuan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa agar seiring dengan perkembangan jenayah masa kini. Gambar kecil: Kamal Affandi
Modul latihan polis bantuan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa agar seiring dengan perkembangan jenayah masa kini. Gambar kecil: Kamal Affandi
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah kerajaan untuk menambah baik modul latihan kepada syarikat pengawal keselamatan dan polis bantuan agar sesuai dengan perkembangan semasa bagi meningkatkan kecekapan termasuk dalam menghadapi ancaman jenayah bersenjata adalah tepat pada masanya.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, insiatif itu penting dan seiring dengan perkembangan semasa bagi meningkatkan kecekapan kumpulan tersebut.

Menurutnya, penambahbaikan itu turut membolehkan penelitian atau kajian terhadap aspek tertentu dilakukan.

“Seharusnya mana-mana silibus termasuk melibatkan modul latihan kepada syarikat pengawal keselamatan dan polis bantuan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa agar lebih relevan seiring dengan perkembangan jenayah masa kini.

“Untuk makluman juga, pengawal keselamatan dan polis bantuan mempunyai modul latihan yang berbeza. Polis bantuan diberikan latihan sama dengan polis yang mana mereka (polis bantuan) dipinjamkan kuasa polis (hanya diberi kuasa polis di dalam bangunan atau kawasan majikan mereka bertugas).

“Pengawal keselamatan pula tidak mempunyai kurikulum sama dengan polis bantuan ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.
Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa modul latihan kepada syarikat pengawal keselamatan dan polis bantuan akan ditambah baik, bagi memastikan ia sesuai dengan potensi ancaman semasa terutama di tempat awam, susulan insiden tembakan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Saifuddin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab memberi latihan kepada syarikat pengawal keselamatan dan polis bantuan, akan meneliti perkara tersebut.

Sementara itu, Kamal Affandi menggesa orang awam untuk meletakkan keselamatan diri sebagai keutamaan ketika berdepan situasi mencemaskan itu.

Ujarnya, tindakan segelintir pihak yang bertindak merakam detik genting hingga mengabaikan aspek keselamatan diri tidak sewajarnya berlaku.

“Masalah utama masyarakat kita sekarang ini lebih cenderung untuk merakam insiden tanpa fikirkan keselamatan diri. Sepatutnya apabila bunyi tembakan, cari jalan keluar dulu ke tempat lebih selamat,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cadangan pihak tertentu supaya pusat beli-belah yang menjadi tumpuan ramai dilengkapi alat pengesan logam bagi mengesan senjata api atau alat berbahaya lain, Kamal Affandi berkata, ia boleh dilaksanakan bergantung kepada pematuhan syarikat terlibat dan orang ramai.

“Kita kena lihat kepada realiti, kalau pusat beli-belah diwajibkan pasang alat pengesan, adakah majoriti kita (pengunjung) akan patuh atau sedia untuk beratur? Perkara itu juga perlu diambil kira,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!