Tarif AS timbul 'risiko ketara' kepada ekonomi, kata Ketua Bank Pusat Jerman

Joachim Nagel - Foto: Agensi
Joachim Nagel - Foto: Agensi
A
A
A

FRANKFURT - Presiden Bundesbank Jerman, Joachim Nagel pada Isnin memberi amaran bahawa tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) akan memberi kesan khusus kepada Jerman, sekali gus menimbulkan "risiko ketara” terhadap pertumbuhan ekonomi negara itu, lapor Xinhua.

Bercakap pada Majlis Makan Tengah Hari Speaker anjuran Union International Club di Frankfurt, Nagel menegaskan bahawa sebagai ekonomi berorientasikan eksport, Jerman bakal mengalami kerugian besar akibat perubahan dasar perdagangan AS.

Merujuk keputusan Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif 25 peratus ke atas keluli dan aluminium, Nagel menyatakan bahawa langkah itu akan memberi kesan terutamanya kepada Jerman yang menimbulkan ancaman terhadap prospek ekonominya.

Berdasarkan unjuran bank pusat Jerman, beliau memberi amaran bahawa ketegangan perdagangan rentas Atlantik yang semakin meningkat boleh menyebabkan output ekonomi Jerman pada 2027 lebih rendah sebanyak 1.5 mata peratusan daripada jangkaan. Beliau turut mengingatkan bahawa inflasi boleh meningkat, walaupun kesan sebenar belum dapat dipastikan.

Ketua Bundesbank itu seterusnya menekankan bahawa peningkatan tarif berisiko mencetuskan "halangan ekonomi yang ditimbulkan sendiri,” yang bukan sahaja boleh melemahkan ekonomi Jerman tetapi juga menjejaskan prospek pertumbuhan AS serta mengganggu rantaian bekalan global.

Berbeza dengan dakwaan pentadbiran AS, Nagel menegaskan bahawa tarif berkemungkinan memberi kesan negatif kepada AS sendiri. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!