NAFAS kekal relevan, pacu pertanian negara

SHAH ALAM- Ditubuhkan pada tahun 1972, kini meniti usia 53 tahun, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) terus memainkan peranan penting dalam industri pertanian negara.
Sebagai pertubuhan induk kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), NAFAS bukan sekadar entiti ekonomi tetapi juga tulang belakang kepada kebajikan 605,000 ahli peladang seluruh Malaysia.
Sepanjang lebih lima dekad, NAFAS telah berperanan dalam meningkatkan taraf hidup peladang melalui pelbagai inisiatif seperti pembekalan input pertanian, pembangunan kapasiti, latihan dan sokongan kewangan.
Namun, dalam tempoh tersebut, NAFAS tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai cabaran termasuk perubahan landskap ekonomi, teknologi dan juga cabaran tadbir urus.
Untuk kekal relevan dan terus memperkasakan komuniti peladang, NAFAS perlu bergerak seiring dengan koperasi pertanian global yang telah berjaya menerapkan model perniagaan moden, penggunaan teknologi serta tadbir urus yang lebih profesional.
Penggunaan teknologi pintar dan AI

Menurut Pemegang Kursi Sekuriti Makanan di Universiti Putra Malaysia, Profesor Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad, NAFAS mampu menjadi peneraju utama perubahan dalam pertanian negara sekiranya ia menerapkan teknologi moden dalam operasinya.
“Langkah ini telah lama diguna pakai dan terbukti berjaya di negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, India, Amerika Syarikat, New Zealand, Eropah dan Australia,” katanya.
Antara teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh NAFAS termasuklah kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), Sistem Maklumat Geografi (GIS), teknologi blockchain, nano teknologi, sistem pemetaan tiga dimensi dan dron.
Sebagai contoh, penggunaan AI, IoT dan GIS dalam menyediakan formula baja mengikut jenis dan lokasi tanah dapat memaksimumkan hasil pengeluaran padi, menggantikan konsep lama di mana satu formula baja digunakan untuk semua kawasan tanpa mengambil kira perbezaan jenis tanah.
“Melalui teknologi digital juga, petani dan pesawah tidak memerlukan mesin besar tetapi mesin pintar yang sepadan dengan saiz tanah pertanian atau sawah mereka,” tambahnya.
Menurut beliau, NAFAS perlu kembali kepada matlamat asal penubuhannya iaitu memperkasa ekonomi dan kebajikan ahli Peladang di seluruh negara dan bukannya mengejar keuntungan semata-mata,” jelasnya.
Ke arah tadbir urus profesional
Dalam memastikan NAFAS terus maju dan relevan, bekas Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Mohd Anim Hosnan menekankan keperluan reformasi dalam organisasi tersebut.

Beliau berkata, NAFAS perlu menggalakkan lebih banyak lantikan kumpulan profesional dan golongan teknokrat pertanian dalam pertubuhan ini bagi meningkatkan tadbir urus, integriti serta mengurangkan gangguan yang tidak sepatutnya.
“Pelantikan lebih banyak profesional dan teknokrat dalam NAFAS bukan sahaja dapat memastikan pentadbiran yang lebih telus, malah dapat merevolusikan semula organisasi ini demi kelangsungan sektor pertanian negara,” katanya yang kini aktif dalam penulisan dan kajian berkaitan sektor pertanian.
Menurut beliau, tadbir urus yang cekap juga akan memastikan NAFAS bebas daripada isu-isu yang boleh menghalang kemajuannya serta memastikan manfaat yang diperoleh akan terus memberi pulangan kepada para peladang di Malaysia.
Daripada Peladang Untuk Peladang
Sementara itu, Anggota Lembaga (ALK) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, menegaskan bahawa NAFAS masih relevan kerana ia adalah pertubuhan koperasi yang bertunjangkan prinsip Daripada Peladang Untuk Peladang.

“Sebagai institusi pertanian yang memayungi rantaian Pertubuhan Peladang, keuntungan yang dicapai oleh NAFAS bukanlah keuntungan individu semata-mata, sebaliknya ia dipulangkan semula kepada kelompok petani dalam bentuk dividen dan manfaat lain,” katanya.
Namun, bagi memastikan NAFAS terus relevan pada masa depan, pengurusan tertinggi organisasi ini tidak boleh mudah berpuas hati dengan pencapaian semasa.
Sebaliknya, mereka perlu mencontohi kejayaan koperasi peladang luar negara seperti di Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Thailand, dan New Zealand yang berjaya bukan sahaja mengeluarkan petani daripada garisan kemiskinan tetapi menjadikan mereka sebagai usahawan dan jutawan.
“Kejayaan pertubuhan peladang di luar negara banyak bergantung kepada tadbir urus yang baik, bebas daripada campur tangan politik, kronisme serta konflik kepentingan,” tambahnya.
Beliau turut menyarankan NAFAS meningkatkan kerjasama dengan koperasi peladang antarabangsa seperti Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan Korea Selatan dan Koperasi Pertanian Jepun bagi membolehkan petani Malaysia memperoleh kelebihan dalam pembelian dan penjualan produk pertanian secara pukal.
Kesimpulan sebagai sebuah pertubuhan yang telah mencorakkan pembangunan pertanian negara selama lebih lima dekad, NAFAS terus kekal sebagai penggerak utama petani dan peladang Malaysia.
Bagi memastikan keberlangsungan dan kemampanan organisasi ini, langkah reformasi tadbir urus yang baik, pemerkasaan penggunaan teknologi terkini dan pemantapan profesionalisme perlu diteruskan.
Dengan strategi yang tepat, NAFAS bukan sahaja mampu memperkukuhkan kedudukan petani Malaysia, malah mampu menjadi model Pertubuhan Peladang yang berjaya di peringkat antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!