Pahang tetapkan solat tarawih 20 rakaat di masjid, surau

KUANTAN - Penetapan solat sunat tarawih di masjid dan surau di seluruh negeri Pahang ialah 20 rakaat dengan tiga rakaat witir dua salam, Ramadan ini.
Mufti Pahang,Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, ketetapan itu telah diperkenankan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Menurutnya, kesempurnaan solat tarawih afdal didirikan 20 rakaat sebagaimana dijelaskan Imam Syafie.
"Hal yang sama dikatakan Saidina Umar Ibn Al –Khattab sebagaimana dalam Kitab Al-Hawi Al-Kabir Syarah Kitab Mukhtar Aal-Muzanni Jilid kedua muka surat 290 menceritakan bahawa penduduk Makkah mendirikannya 20 rakaat serta witir," jelasnya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Dr Asmadi berkata, pihak masjid dan surau bagaimanapun boleh memilih untuk memendekkan solat tarawih kepada lapan rakaat pada malam sambutan Nuzul Al-Quran.
Menurutnya lagi, menunaikan solat tarawih berjemaah lebih afdal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!