Tawan Ironman pada usia 60 tahun, Ariffin raih pengiktirafan Pahang

 Fadzli
Fadzli
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang sedia membantu menyediakan kelengkapan sukan kepada pelari lasak veteran, Ariffin Abdul Manan, 60, selain bercadang mengangkat pelari itu sebagai ikon sukan negeri ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, kejayaan pelari dari Kampung Baru Jerantut itu menamatkan cabaran pelbagai acara larian termasuk Trail Run Ironman 70.3KM di Langkawi baru-baru ini mendapat perhatian kerajaan negeri.

Menurutnya, bantuan akan dihulurkan atas persetujuan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Kita akan bantu menyediakan kelengkapan sukan yang sesuai untuk menyertai acara larian selepas ini selain menjadikan beliau ikon kepada anak dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat.

"Walaupun sudah berusia 60 tahun, dia masih aktif menyertai acara larian sekali gus boleh dijadikan inspirasi kepada golongan muda menggalakkan mereka untuk bergiat aktif dalam sukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Zuridan Mohd Daud (Pas-Damak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Arrifin sekali lagi mendapat perhatian dan liputan meluas selepas berjaya menamatkan Ironman 70.3 Langkawi 2026 dengan catatan masa 7 jam 19 minit 57 saat.

Pada acara Taman Negara Ultra 2026 Oktober lalu, beliau menamatkan larian denai sejauh 30 kilometer (km) di Kuala Tahan, Jerantut dalam masa 7 jam 32 minit 36 saat dengan berkaki ayam serta bertongkat kayu selepas mengayuh basikal sejauh kira-kira 100km dari Ulu Cheka, Damak.

Sementara itu, Fadzli berkata, kerajaan negeri turut bercadang melaksanakan projek khas bagi membantu merealisasikan impian seorang pendaki dari Jerantut mendaki Gunung Everest.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pendaki dikenali sebagai Pak Syed, 63, aktif dalam aktiviti pendakian gunung di dalam dan luar negara memerlukan dana sekurang-kurangnya RM300,000 bagi menjayakan hasrat berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!