Firdaus bangga prestasi penembak negara

Mohamad Firdaus (tengah) bersama Alia Sazana (kiri) dan Nurul Syasya pada Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok. Foto Facebook Hannah Yeoh
Mohamad Firdaus (tengah) bersama Alia Sazana (kiri) dan Nurul Syasya pada Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok. Foto Facebook Hannah Yeoh
A
A
A

KEJAYAAN penembak berpengalaman, Alia Sazana Azahari memperbaharui rekod Asia dalam acara 25 meter (m) pistol wanita dalam Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok pada Ahad amat membanggakan.

Jurulatih kem menembak negara, Mohamad Firdaus Abd Rahim turut menyifatkan pingat emas yang diraih itu sebagai sangat berbaloi dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Alia Sazana.

Ini juga merupakan emas kedua Malaysia pada kejohanan itu selepas Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin mendominasi acara 10m air pistol wanita dengan 239.3 mata Khamis lepas.

Malah Mohamad Firdaus turut memuji prestasi yang diperagakan oleh Alia Sazana dan Nurul Syasya pada perlawanan akhir itu setelah agak bergelut di peringkat kelayakan.

"Saya sangat berpuas hati dan bangga dengan prestasi mereka. Malah kejayaan ini juga adalah KPI (indeks prestasi utama) kami di peringkat Asia. Ketika latihan mereka bersungguh-sungguh mempelajari perkara baharu.

"Cuma ketika saingan peringkat awal ada sedikit kesilapan, namun mereka pantas belajar dan perbaiki kelemahan untuk bangkit dengan lebih baik di final.

"Alhamdullillah ia membuahkan hasil positif," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada aksi final di Lapang Sasar Menembak SAT, Alia Sazana membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 target, sekali gus memadam rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta oleh penembak Korea Selatan, Yang Jiin, pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, olimpian negara, Johnathan Wong pada Januari lalu membaharui rekod kebangsaan milik sendiri apabila mengutip 586 mata dalam acara 10m air pistol lelaki memadam rekod lama 585 mata yang dilakar pada 2015.

Mohamad Firdaus menjelaskan misi kem menembak kebangsaan masih belum selesai apabila akan menggalas cabaran negara pada Piala Dunia di Munich, Jerman pada Jun depan.

"Para atlet mahu mencari cabaran yang hebat dan Piala Dunia ini menjadi pentas yang kompetitif buat penembak negara sebagai persediaan ke Sukan SEA Thailand akhir tahun ini," katanya.

Beliau menambah, skuad menembak sebelum ini belum pernah menyertai kejohanan di peringkat Asia, sebaliknya memberi tumpuan kepada pertandingan berstatus lebih tinggi seperti Kejuaraan Dunia dan Piala Dunia.

"Ia disebabkan sasaran kem menembak mahu meraih kouta untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang lalu. Jadi ini kali pertama kita serta kejohanan Asia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!