Dua budak beri keterangan kes Zayn Rayyan secara tertutup esok

PETALING JAYA – Seramai dua kanak-kanak akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matin di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata, dua saksi itu akan memberi keterangan mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007.

Menurutnya, saksi ini tidak akan berada di bilik mahkamah tetapi ditempatkan di lokasi lain.
“Keterangan mereka akan diambil melalui pautan video secara langsung sambil ditemani orang dewasa.
“Semasa memberi keterangan, pihak media tidak boleh mendedahkan identiti saksi ini, jika ingkar, pihak berdepan denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya," katanya.
Peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, tidak membantah permohonan tersebut.
Selepas mendengar perkara terbabit, Hakim, Dr Syahliza Warnoh membenarkan dua kanak-kanak ini memberi keterangan secara tertutup, dengan ditemani orang dewasa.
“Pihak media tidak dibenarkan melaporkan butiran mengenai kanak-kanak ini bagi melindungi mereka.
“Selain itu, mahkamah menetapkan Khamis depan, bagi saksi-saksi yang terlibat membuat pengecaman di lokasi kejadian.
“Maknanya tiada pihak lain kecuali hakim, jurubahasa, timbalan pendakwa raya, peguam, tertuduh dan saksi-saksi yang terlibat,” kata hakim itu.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Prosiding bersambung Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

