Ada penduduk buat kesimpulan Zayn Rayyan dibunuh - Peguam

PETALING JAYA – Pihak pembelaan dalam kes pengabaian, Zayn Rayyan Abdul Matin mencadangkan bahawa, ada dalam kalangan penduduk yang menyaksikan penemuan jasad kanak-kanak autism itu di beting pasir anak sungai pada 6 Disember 2023 lalu, membuat kesimpulan bahawa mangsa telah dibunuh.
Peguam, Haresh Mahadevan berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian membabitkan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Ketika menyoal Koperal Mohammad Hunter El Arash Jeanawie Untam, peguam itu mengemukakan cadangan, ada penduduk membuat rumusan, Zayn Rayyan, 6, telah meninggal dunia atau dibunuh.
Bagaimanapun, Mohammad Hunter, 35, yang juga anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, menjawab “tidak pasti”.
Peguam yang mewakili pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu kemudiannya mengusulkan bahawa, datuk Zayn Rayyan tiba lebih awal di lokasi penemuan kanak-kanak itu berbanding saksi berkenaan.
Mohammad Hunter: Tidak pasti.
Peguam: Setuju dengan cadangan saya, sebelum koperal sampai, datuk Zayn Rayyan telah memegang untuk melihat keadaan cucunya yang meninggal dunia dengan kecederaan di badan.
Mohammad Hunter: Tidak pasti.
Peguam: Saya cadangkan, selepas melihat Zayn Rayyan, datuk itu memberitahu Zaim Ikhwan yang baru sahaja tiba, bahawa anaknya telah dibunuh.
Mohammad Hunter: Tidak pasti.
Dalam pada itu, semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, saksi yang berkhidmat di IPD itu sejak tahun 2019 berkata, dia mendengar Zaim Ikhwan menjerit untuk memeluk Zayn Rayyan.
“Semasa jasadnya ditemui, saya mendengar jeritan orang awam, dia mengaku dirinya ayah kepada arwah.
“Dia menjerit, ‘babi betul, siapa bunuh anak aku? Nak peluk, nak peluk anak aku’,” kata saksi itu.
Beliau kemudiannya berkata, telah mengarahkan orang ramai supaya menghalang tindakan bapa kepada kanak-kanak malang terbabit.
Sementara itu, ketika sesi soal balas, peguam mencadangkan, perkataan ‘babi’ tidak pernah dikeluarkan oleh anak guamnya.
Saksi ini kemudiannya berkata, Zaim Ikhwan menjerit dalam keadaan meronta-ronta.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-12, Siti Natrah Ismail, 68, mengakui telah menyaksikan seorang kanak-kanak berbaju sekolah mengejar kanak-kanak lain, di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, pada hari Zayn Rayyan dilaporkan hilang.
Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, jiran Zayn Rayyan itu berkata, ketika kejadian, dia sedang menyidai kain.
“Saya dengar seorang budak memakai baju sekolah berwarna putih dan berseluar hitam menjerit dan berlari, macam main kejar-kejar.
“Kanak-kanak yang menjerit itu datang dari arah tangga, depan pintu rumah saya menghala ke kebun sementara seorang budak lelaki memakai baju putih dan seluar hitam menuju pokok sukun,” katanya.
Selepas itu, Siti Natrah berkata, kelibat dua kanak-kanak itu tidak kelihatan kerana mungkin sudah menaiki van sekolah.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

