Kerajaan Johor pantau pelaksanaan SRBJ setiap enam bulan

Aznan
Aznan
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Johor akan menilai keberkesanan pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) membabitkan empat sekolah pada setiap enam bulan iaitu dua kali setahun.

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, pihaknya juga akan melakukan pemantauan pembelajaran setiap bulan untuk memastikan kaedah itu dilaksanakan dengan baik.

"Saya yakin dan percaya guru komited untuk membantu dan menggerakkan SRBJ dalam membantu anak-anak kita menerima penekanan serta nilai tambah terhadap empat elemen yang ditetapkan.

"Silibus pembelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus dikekalkan, kita cuma tambah beberapa perkara dan kaedah sahaja," katanya ketika sidang akhbar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Putri 4, di sini pada Isnin.

Aznan memberikan cenderamata kepada pelajar Tahun Satu sempena hari pertama sesi persekolahan di SK Seri Kota Putri 4, Pasir Gudang pada Isnin.
Aznan memberikan cenderamata kepada pelajar Tahun Satu sempena hari pertama sesi persekolahan di SK Seri Kota Putri 4, Pasir Gudang pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, lebih 2,574 pelajar dan 212 guru akan terbabit dalam fasa permulaan SRBJ bermula pada sesi persekolahan dibuka.

Menurut Aznan, projek rintis itu memberikan penekanan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bahasa Inggeris.

Katanya, pelajar yang terbabit dengan SRBJ akan diwajibkan melengkapkan sekurang-kurangnya 112 jam kelas dalam mata pelajaran STEM setiap tahun, berbanding sekurang-kurangnya 64 jam di sekolah lain.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Aznan memaklumkan, SRBJ juga merupakan penanda aras kepada KPM bagi memberikan peruntukan daripada segi infrastruktur dan sebagainya untuk murid.

Murid-murid SK Seri Kota Putri 4, Pasir Gudang memulakan hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 pada Isnin.
Murid-murid SK Seri Kota Putri 4, Pasir Gudang memulakan hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 pada Isnin.

Tambah beliau, pada 20 Februari ini pula, ibu bapa akan hadir ke sekolah untuk sesi libat urus bersama guru.

"Inisiatif tersebut adalah untuk memberikan pendedahan kepada mereka bahawa program ini bukan sahaja melibatkan cikgu dan murid tetapi juga ibu bapa. Ini penting supaya mereka faham hasrat sebenar Kerajaan Negeri Johor untuk SRBJ," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 90 guru akan dihantar ke Institut Pendidikan Negara (NIE) di Singapura bagi mengikuti latihan dan bengkel mengikut keperluan masing-masing pada April ini.

Menurutnya, guru yang terlibat akan menjalani latihan di Singapura selama empat hari.

"Kita hantar secara berperingkat dan selepas raya ini lebih kurang 90 guru akan ke NIE. Kita tetapkan jumlah yang berbeza sebab ada yang dari sekolah menengah dan sekolah rendah.

"Jumlah bagi satu kumpulan juga tidak ramai kerana bimbang tidak memberikan kesan yang mendalam kepada guru (ketika sesi latihan)," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!