Fasa permulaan SRBJ libatkan 4,300 pelajar, 212 guru

Aznan mengenakan pakaian seragam sekolah kepada salah seorang pelajar sempena Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau hari ini.
Aznan mengenakan pakaian seragam sekolah kepada salah seorang pelajar sempena Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Seramai 4,300 orang pelajar dan 212 guru bakal terlibat dalam fasa permulaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang akan bermula sebaik sesi persekolahan dibuka 17 Februari ini.

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, sebagai persediaan, seramai 212 guru sekolah rendah dan menengah telah dihantar ke Institut Pendidikan Negara (NIE) di Singapura bagi mengikuti latihan serta bengkel sebagai persediaan bagi fasa permulaan pembukaan SRBJ.

"Jadi kita mahu semua 212 guru memperoleh sijil mengikut piawaian antarabangsa, Common European Framework of Reference For Language (CEFR). Mereka inilah yang akan menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan SRBJ

“Secara keseluruhannya projek rintis berkenaan memberikan penekanan bagi penguasaan dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan Bahasa Inggeris.

“Pelajar-pelajar terlibat akan diwajibkan melengkapkan sekurang-kurangnya 112 jam kelas dalam mata pelajaran STEM setiap tahun berbanding sekurang-kurangnya 64 jam di sekolah lain," katanya kepada pemberita setelah menyempurnakan perasmian Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, di sini hari ini.

Untuk rekod, menerusi Belanjawan Johor 2025, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.22 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang berpotensi dijadikan SRBJ.

Aznan (berdiri empat dari kiri) bersama para pelajar pada Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau hari ini.
Aznan (berdiri empat dari kiri) bersama para pelajar pada Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau hari ini.

Setakat ini, projek SRBJ ini hanya di peringkat permulaan membabitkan dua sekolah menengah iaitu SMK Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara selain dua sekolah rendah iaitu SK Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aznan berkata, SRBJ bakal memberikan keutamaan dari segi menaik taraf kemudahan sekolah seperti makmal komputer serta bilik sains yang lebih dinamik dan maju selaras dengan keperluan semasa selain penambahan dalam silibus serta sistem pembelajaran.

Beliau berkata, bagi sekolah menengah, ia melibatkan semua pelajar namun tumpuan lebih tertumpu bagi pelajar Tingkatan Dua dan Tiga yang menjadi penanda aras setelah hasilnya boleh dilihat dalam tempoh kira-kira tiga tahun.

"Bagi sekolah rendah pula, ia akan melibatkan semua murid dengan sistem pendidikan yang kita sudah susun dan paling penting ia tidak mengubah Dasar Pendidikan Negara kerana hanya sedikit penambahan kepada silibus sedia ada.

"Sesi libat urus bersama ibu bapa juga akan diadakan agar mereka faham dengan apakah sebenarnya hasrat Kerajaan Negeri menerusi projek rintis ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!