Rondaan di kedai buku hanya sekadar pemantauan - Polis

Tular hantaran di media sosial menunjukkan kehadiran pihak berkuasa di sebuah premis menjual buku di Petaling Jaya baru-baru ini.
Tular hantaran di media sosial menunjukkan kehadiran pihak berkuasa di sebuah premis menjual buku di Petaling Jaya baru-baru ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Kehadiran polis di sebuah kedai buku di sini baru-baru ini untuk memantau sebarang program yang dijalankan serta melibatkan pemantauan di luar premis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya sebelum ini mengesan satu hantaran dimuat naik menerusi Twitter berkaitan kehadiran pihaknya serta penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di premis terbabit.

Beliau berkata, kehadiran pihak penguat kuasa KDN dan anggota polis daripada unit rondaan adalah pada tarikh dan tujuan yang berbeza.

"Pihak penguat kuasa KDN telah melakukan pemeriksaan pada 14 Februari 2025, manakala unit rondaan polis berada di lokasi pada 15 Februari 2025.

"Rondaan dijalankan polis adalah sebahagian daripada aktiviti rutin dalam memantau sebarang program yang diadakan dan hanya melibatkan pemantauan di luar bangunan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, rondaan dijalankan pihaknya bukan bertujuan untuk mengganggu sebarang program atau aktiviti masyarakat atau mana-mana kumpulan yang diadakan secara sah.

"Semua pihak diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen yang boleh mengelirukan orang ramai dan menggugat keamanan dalam negara," katanya.

Terdahulu, tular hantaran di media sosial memaparkan dua gambar berbeza mendakwa pihak polis dan penguatkuasa KDN menjalankan rondaan di sebuah premis menjual buku di sini.

Artikel Berkaitan:

Hantaran terbabit secara sinis mendakwa tindakan itu dilakukan untuk mengesan bahan bacaan didakwa haram.

Bagaimanapun jelas hantaran itu, pemeriksaan bagaimanapun tidak menemukan sebarang buku yang menyalahi undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!